100 unit walkie-talkie disediakan

100 unit walkie-talkie disediakan

KUNDASANG, 10 Jun (Bernama) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan membekalkan 100 unit ‘walkie-talkie’ untuk kegunaan malim gunung sepanjang masa dalam aktiviti mendaki.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan perkhidmatan komunikasi memainkan aspek penting, lebih-lebih lagi bagi tujuan mencari dan menyelamat dalam situasi bencana.

“Kami juga akan pasang satu pemancar kerana walkie-talkie juga memerlukan kemudahan itu untuk mencapai liputan yang dirasakan sesuai bagi kawasan pergunungan ini.

“Saya minta tempoh seminggu ataupun dua minggu untuk membawa ke semua walkie-talkie ini,” katanya kepada pemberita di pusat operasi di Taman Kinabalu di sini hari ini bersempena tinjauan beliau ke kawasan yang mengalami kesan gempa bumi berkekuatan 5.9 pada skala Richter di Ranau, Jumaat lepas.