1,000 haiwan korban tiba

1,000 haiwan korban tiba

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Kira-kira 1,000 ekor lembu, kerbau dan kambing yang didatangkan dari Northern Territories, Australia sampai di Pelabuhan Muara hari ini bagi menampung permintaan daging yang meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha sedikit masa lagi.

Daripada jumlah itu, sebanyak 600 ekor lembu dan kerbau serta 250 ekor kambing diimport khas oleh Syarikat Mulaut Abattoir Sdn Bhd bagi memenuhi permintaan umat Islam di negara ini yang membuat pesanan melalui syarikat penyembelihan itu untuk ibadat korban mereka.

Pegawai-pegawai dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Syarikat Mulaut Abattoir Sdn Bhd serta wakil daripada dua lagi syarikat penyembelihan tempatan yang turut membuat pesanan, berada di Pelabuhan Muara awal pagi ini menantikan ketibaan binatang-binatang ternakan dari Darwin, Australia itu.

Syarikat Mulaut Abattoir Sdn Bhd dalam satu kenyataan di sini berkata, orang ramai yang berhajat untuk menunaikan ibadah korban bagi tahun ini bolehlah mendapatkan borang pendaftaran yang diedarkan melalui cawangan kedai daging Mulaut dan di Pejabat Jualan Mulaut Abattoir Sdn Bhd di Jalan Kilanas/Mulaut.

Borang tersebut juga sedang diedarkan di pejabat-pejabat kerajaan, sektor swasta dan di masjid-masjid di seluruh negara, menurut kenyataan itu.

Pekerja pelabuhan memuatkan binatang korban yang diimport ke dalam lori.
Pekerja pelabuhan memuatkan binatang korban yang diimport ke dalam lori.

Mulaut Abattoir akan mengadakan penyembelihan binatang ibadah korban selama empat hari, iaitu pada Hari Raya Korban (10 Zulhijjah) dan Hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah).

Menurut kenyataan itu lagi, semua tempahan dan pembayaran akan diadakan di kaunter Pejabat Penjualan Syarikat Mulaut Abattoir, bermula pada 15 September 2015 hingga 20 September 2015, dan kaunter pada hari pertama

akan dibuka dari pukul 6 pagi hingga 5 petang manakala pada hari seterusnya akan dibuka pada pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Kadar harga untuk daging ternakan korban bagi tahun ini, iaitu $5.80 sekilogram bagi lembu dan $5.30 sekilogram bagi kerbau, manakala harga bagi seekor kambing ialah antara $450 hingga $500.

Syarikat tersebut juga menawarkan tiga jenis perkhidmatan bagi ketiga-tiga binatang ternakan itu dengan kadar harga yang berpatutan, iaitu khidmat menceraikan daging daripada tulang saja, khidmat menceraikan daging daripada tulang dan tulang tersebut akan dipotong-potong dan khidmat ketiga menceraikan daging daripada tulang dengan tulangnya dipotong-potong dan kemudian daging dan tulang dimasukkan ke dalam plastik dengan anggaran berat sekilogram setiap satu.

Pada tahun ini Mulaut Abattoir masih lagi menyediakan perkhidmatan korban dan akikah secara individu/satu bahagian untuk ternakan lembu dan kerbau.

Mereka yang ingin mengadakan korban/akikah secara perseorangan telah ditetapkan dengan harga $350 seorang/sebahagian, termasuk khidmat menceraikan daging dari tulang, tulang dipotong-potong dan memasukkan kedua-duanya ke dalam beg plastik dengan anggaran berat sekilogram setiap satu.

ARTIKEL YANG SAMA