1,000 helai skarf Bawal Aidijuma percuma

1,000 helai skarf Bawal Aidijuma percuma

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Para pengunjung ke Ekspo Ramadan Al-Mubarak 2016 yang sedang berlangsung di Stadium Tertutup Berakas, berpeluang untuk mendapatkan skarf Bawal Aidijuma secara percuma di ekspo berkenaan.

Skarf percuma sebanyak 1,000 helai itu ditaja oleh Blossom Box Store dan orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung ke ekspo berkenaan serta untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan skarf mereka.

Bermula 22 Julai lalu hingga 5 Julai ini, Ekspo anjuran Tech Evolution Media Company itu disertai oleh pengusaha tempatan dan luar negara seperti Sarawak dan sehingga hari ini, ia telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada orang ramai.

Ekspo itu mengetengahkan lebih 70 buah petak jualan yang mempamerkan pelbagai produk bagi persediaan bulan Syawal yang akan menjelang tidak lama lagi seperti kuih-muih, baju raya, produk-produk karpet dan produk solekan di mana produk yang dijual adalah pada harga yang berpatutan dengan pelbagai tawaran yang menarik sesuai bagi kunjungan orang ramai dan juga keluarga.

Di samping itu, ekspo berkenaan turut mengetengahkan pelbagai aktiviti sampingan seperti pameran reptilia dan pertunjukan kucing serta cabutan bertuah ‘Guess & Win’ di mana para pengunjung berpeluang untuk membawa pulang hadiah menarik seperti baucar membeli-belah, hamper raya dan banyak lagi.

Ekspo yang dibukakan bagi kunjungan orang ramai itu bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam bertujuan untuk membantu para usahawan tempatan mempamerkan produk-produk mereka kepada orang ramai di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara usahawan-usahawan yang ada di negara ini.

Selain itu, ia turut menggalakkan orang ramai agar membeli produk-produk tempatan bagi persiapan hari raya mereka di samping memberikan dorongan yang positif kepada para peniaga di negara ini.

Ekspo itu mendapat sokongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dengan Borneo Bulletin dan Media Permata selaku media rasmi.

ARTIKEL YANG SAMA