1,000 tahun belum cukup

1,000 tahun belum cukup

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Hukuman penjara seumur hidup yang dikenakan ke atas perogol kanak-kanak warga Britain, Richard Huckle dikritik hari ini sebagai hukuman yang terlalu ringan di Malaysia, negara tempat dia melakukan banyak penganiayaan seksual ke atas kanak-kanak dan malah anak damit.

Huckle, 30 tahun dijatuhkan hukuman di mahkamah London semalam 22 hukuman penjara seumur hidup yang dijalankan serentak, bermakna dia meringkuk lebih 23 tahun sebelum lembaga parol boleh mempertimbangkan pembebasannya.

Tetapi kebimbangan yang dikemukakan di Malaysia bahawa Huckle satu hari mungkin dibebaskan dan memberi ancaman kepada lebih ramai kanak-kanak, ketika sebilangan orang dengan marah menggesa di media sosial supaya dia disebat, dikembiri atau dihukum mati. Britain tidak ada hukuman mati.

“Seramai 191 mangsa merupakan kanak-kanak, 22 warga Malaysia, 20,000 gambar lucah, 22 hukuman mati, tetapi lelaki kejam ini mungkin bebas dalam tempoh 24 tahun,” begitu tajuk akhbar panjang dalam surat khabar harian unggul, The Star.

New Straits Times berkata ‘Seribu tahun tidak cukup’, mengulangi bantahan daripada seorang wanita yang berada di galeri terbuka ketika Huckle dibawa keluar dari mahkamah.

Huckle mengaku melakukan 71 kesalahan ke atas kanak-kanak miskin di bandar Malaysia, Kuala Lumpur ketika menyamar dengan pelbagai cara sebagai sukarela Kristian, pelajar dan jurugambar.

Apabila dia diberkas di Lapangan Terbang Gatwick, London, apabila pulang bagi kunjungan cuti Krismas pada tahun 2014, polis mendapati bahawa komputer riba dan kameranya mengandungi lebih 20,000 gambar penganiayaan seks kanak-kanak termasuklah rogol.

Komputer riba mengandungi rekod yang mana dia membutirkan penganiayaan ke atas 191 orang mangsa dan dia juga menulis manual bertajuk “Paedophiles and Poverty: Child Lover Guide.”

“Penghukuman seharusnya lebih keras. Dia muda dan apa akan berlaku jika dia keluar ketika dia berusia sekitar 50? Bolehkah seorang pedofilia berubah?” tanya Sharmila Sekaran, pengerusi Voice of Children, Malaysia.

“Adakah ini keadilan? Tidak. Setahu saya dia belum membuat sebarang permohonan maaf kepada mangsa-mangsa.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA