1,000 warga Tionghwa rai Tahun Baru Cina

1,000 warga Tionghwa rai Tahun Baru Cina

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Lebih 1,000 warga Tionghwa keturunan Fu Zhou yang menetap di Negara Brunei Darussalam menghadiri sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di Dewan Muhibah, Sekolah Menengah Chung Hwa di ibu negara, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yang Jian.

Hadir sama ialah Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin dan tokoh perniagaan keturunan Tionghwa di negara ini.

Presiden Persatuan Fu Zhou Shiyyi Negara Brunei Darussalam, Jackson Ting dalam ucapannya berkata pada sambutan tahun ini, persatuan itu telah menganugerahkan Anugerah Cemerlang Pendidikan kepada 141 pelajar yang mana 34 daripada penerima tersebut adalah mereka yang mencapai pengajian peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana.

Beliau berkata, penganugerahan itu merupakan satu kebanggaan kepada persatuan yang ditubuhkan pada 2012 itu kerana ia menunjukkan bahawa Persatuan Fu Zhou Shiyyi di negara ini mementingkan pencapaian akademik dalam kalangan anak ahlinya.

Menurutnya, pendidikan itu penting kerana ia satu-satunya kunci untuk mereka mencapai kejayaan dalam hidup. Turut diraikan pada sambutan itu ialah seramai 31 warga emas yang menerima ‘angpau’ sebanyak $200 setiap seorang, manakala tiga warga emas yang berumur 80 tahun ke atas menerima pingat emas setiap seorang yang bernilai sekitar $500.

Acara pada malam itu dimulakan dengan ucapan Presiden dan disusuli dengan upacara tradisi mengaduk dan menjamu ‘Lo Sang’ beramai-ramai.

ARTIKEL YANG SAMA