10,000 dipindah akibat kebakaran

10,000 dipindah akibat kebakaran

PARIS, 28 Julai (AFP) – Pegawai Perancis memindahkan 10,000 orang dari tiga tempat perkhemahan berbeza kelmarin apabila angin panas meniupkan api di wilayah yang dilanda kemarau di tengah percutian musim panas.

Tiga kebakaran tercetus di rantau tenggara Var, merebak cepat apabila angin kencang memukul kawasan itu, yang mana dalam keadaan kering disebabkan kekurangan air hujan dan suhu yang tinggi.

Sebanyak 30 rumah mudah alih terbakar pada satu tapak perkhemahan di Frejus, kira-kira 40 kilometer barat Cannes, dan 10 lagi di kawasan lain, kerajaan setempat berkata dalam satu keterangan, menambah, lebih 200 anggota bomba dan 50 kereta bomba berusaha memadamkan kebakaran tersebut.

Empat pesawat pemadam api dan dua helikopter telah dikerahkan untuk mengawal api di perkampungan berdekatan Gorges du Verdon, ngarai sungai yang menjadi tarikan utama pelancong di rantau tersebut.

Seorang pengawal keselamatan memeriksa kenderaan mudah alih yang terbakar di kawasan tersebut. – Reuters
Seorang pengawal keselamatan memeriksa kenderaan mudah alih yang terbakar di kawasan tersebut. – Reuters

Sementara itu kebakaran hutan yang membara sejak Jumaat lepas di barat daya Perancis sehingga kini telah memusnahkan kawasan 580 hektar hutan pain pada pinggir barat bandar Bordeaux.

Dengan kebanyakan kawasan Perancis terjejas dengan kemarau, Presiden Francois Hollande melawat kawasan Var kelmarin, sebelum kebakaran melanda di sana untuk memerhati satu latihan dalam melawan kebakaran hutan.

“Malangnya keadaan cuaca memihak kepada kebakaran yang sekali lagi menyala (berdekatan Bordeaux), dengan angin dan kemarau. Kami perlu bersedia di seluruh Perancis,” katanya.