10,000 kanak-kanak dilaporkan hilang

10,000 kanak-kanak dilaporkan hilang

THE HAGUE, 1 Feb – Lebih 10,000 orang kanak-kanak penghijrah tanpa ditemani telah hilang di Eropah, agensi polis EU, Europol berkata semalam, bimbang kebanyakan mereka dibawa ke dalam sindiket penyeludupan seks atau perdagangan hamba.

Pejabat media Europol mengesahkan kepada AFP bilangan itu yang disiarkan dalam akhbar Britain The Observer, dengan menambah kata bahawa ia merangkumi tempoh 18-24 bulan.

Ketua kakitangan agensi itu Brian Donald berkata kanak-kanak yang mudah terdedah kepada bahaya itu telah hilang dari sistem selepas mendaftar dengan pihak berkuasa kerajaan setelah mereka tiba di Eropah.

“Adalah tidak wajar untuk mengatakan kami sedang mencari 10,000 lebih orang kanak-kanak,” Donald berkata, dengan menambah kata 5,000 saja telah hilang di Itali.

“Tidak semua akan dieksploitasi secara jenayah; sebilangan mereka mungkin diserahkan kepada anggota keluarga.

“Kami tidak tahu di mana mereka berada, apa yang mereka lakukan atau mereka dengan siapa.”

Donald berkata terdapat bukti tentang ‘infrastruktur jenayah; yang ditubuhkan dalam tempoh 18 bulan lalu untuk mengeksploitasi aliran penghijrah.

Observer melaporkan bahawa Europol mendapat bukti tentang kaitan antara sindiket penyeludupan yang membawa orang ke EU dan kumpulan jenayah penyeludupan manusia yang mengeksploitasi para penghijrah bagi seks dan penghambaan.

“Terdapat penjara di Jerman dan Hungary yang mana majoriti besar mereka yang diberkas dan ditempatkan di sana mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah di sekeliling krisis penghijrah,” ujar Donald lagi.

Lebih sejuta orang penghijrah dan orang pelarian, ramai yang lari dari konflik Syria, menyeberang masuk ke Eropah tahun lalu.

“Sama ada mereka berdaftar atau tidak, kami bercakap tentang kira-kira 270,000 orang kanak-kanak,” Donald memberitahu akhbar itu.

“Tidak semua mereka itu ditemani, tetapi kami juga mempunyai bukti bahawa perkadaran besar mungkin,” ujarnya, katanya, dengan menambah kata 10,000 mungkin anggaran konservatif. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA