100,000 tentera kawal musim haji

100,000 tentera kawal musim haji

MEKAH, 20 Sept (Arab News) – Kira-kira 100,000 orang kakitangan keselamatan ditugaskan untuk mengawasi musim haji tahun ini yang bermula Selasa, menurut Kementerian Dalam Negeri.

Mejar Jeneral Mansour Al-Turki, jurucakap kementerian itu, berkata antara yang mengawasi para jemaah haji yang amat ramai di musim haji ialah anggota unit elit pencegahan keganasan, polis lalu lintas dan kakitangan kecemasan pertahanan awam.

Mereka dibantu oleh pasukan tentera tambahan dari pasukan tentera dan pengawal kebangsaan.

Musim haji tiba di tengah kebimbangan ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan pengganas.

Al-Turki berikrar dalam temu bual dengan agensi berita bahawa para militan ‘tidak boleh mengawal satu sentimeter di mana-mana di Arab Saudi’.

Seorang jemaah haji mengunjungi gua Hiraa di Jabal Noor pada 19 September, ketika lebih sejuta orang Islam dari seluruh dunia menunaikan haji di Mekah. Kira-kira 100,000 tentera diarahkan untuk mengawal musim haji tahun ini. – AFP
Seorang jemaah haji mengunjungi gua Hiraa di Jabal Noor pada 19 September, ketika lebih sejuta orang Islam dari seluruh dunia menunaikan haji di Mekah. Kira-kira 100,000 tentera diarahkan untuk mengawal musim haji tahun ini. – AFP

Musim haji tahun ini dijangkakan mengumpulkan hingga dua juta jemaah haji dari seluruh dunia.

Sementara itu media tempatan melaporkan bahawa kira-kira 460 orang jemaah haji dari negara-negara GCC tidak dibenarkan memasuki sempadan Batha di Wilayah Ahsa kerana mereka membawa permit haji palsu.

Kolonel Mualla Al-Otaibi, jurucakap Jabatan Pasport Wilayah Timur, memberitahu surat khabar Al-Watan, para jemaah itu telah dihantar balik ke negara mereka.

Bagaimanapun sebilangan jemaah haji itu mengatakan mereka telah menjadi mangsa penipuan pengendali haram di negara mereka yang memberikan mereka permit haji palsu.

Menurut mereka para pekerja pasport di sempadan Batha mendapat tahu tentang permit palsu itu.