$10,453 berjaya dikumpulkan

$10,453 berjaya dikumpulkan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Anak-anak yatim di seluruh negara terus mendapat perhatian menjelang Aidilfitri termasuklah 74 orang anak-anak yatim berusia 18 tahun ke bawah di Kampung Sengkurong ‘B’ yang menerima derma hasil sumbangan ahli-ahli MPK, perkumpulan wanita, penduduk kampung dan orang-orang persendirian di kampung itu.

Sebanyak $10,453 telah dikumpulkan untuk anak-anak yatim yang diserahkan dalam Majlis Penyampaian Derma Anak-anak Yatim Kampung Sengkurong ‘B’ bertempat di kediaman Penghulu Mukim Sengkurong, Haji Musa bin Haji Tahir hari ini.

Derma disampaikan oleh tetamu kehormat majlis, Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar.

Majlis turut diselajurkan dengan majlis bertadarus Al-Quran bagi MPK Sengkurong ‘B’, Khatam Al-Quran bagi Perkumpulan Wanita MPK Sengkurong ‘B’, bertahlil dan doa arwah serta bersungkai bersama anak-anak yatim dan penduduk kampung.

Haji Muhammad Sunadi menyampaikan derma kepada salah seorang anak yatim.
Haji Muhammad Sunadi menyampaikan derma kepada salah seorang anak yatim.
Majlis Khatam Al-Quran bagi Perkumpulan Wanita MPK Sengkurong ‘B’ menyemarakkan lagi acara keagamaan tersebut.
Majlis Khatam Al-Quran bagi Perkumpulan Wanita MPK Sengkurong ‘B’ menyemarakkan lagi acara keagamaan tersebut.

Penyampaian derma bertujuan membantu meringankan bebanan perbelanjaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang,di samping menyemarakkan bulan Ramadan dengan majlis keagamaan dan mengharapkan ganjaran pahala serta keberkatan dalam bulan ini. Ia juga dihasratkan mengeratkan tali silaturahim antara keluarga anak-anak yatim dengan masyarakat sekampung.

Haji Musa dalam temu bual bersama wartawan Media Permata, menyarankan agar derma yang diterima oleh anak-anak yatim itu digunakan sebaiknya dan tidak membazirkannya dengan perkara tidak berfaedah.

Menurutnya, dalam kalangan 74 penerima itu, 25 adalah dari Kampung Sengkurong ‘B’, 32 dari kampung Selayun manakala 17 orang dari Kampung Tagap.

ARTIKEL YANG SAMA