105 jersi tiruan pasukan bola sepak Sarawak dirampas

105 jersi tiruan pasukan bola sepak Sarawak dirampas

KUCHING, 4 Ogos – Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas 105 jersi tiruan yang menyerupai jersi pasukan bola sepak Sarawak dalam serbuan di sebuah pasar raya di pekan Serian semalam.

Menurut Ketua Penguat kuasa KPDNKK Sarawak Abd Hafidz A Rahim, jersi yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM787.50.

Katanya, setiap jersi berkenaan dijual di pasar raya berkenaan pada harga RM7.50.

“Kita akan mengenal pasti pembekal dan pengilang jersi tiruan berkenaan untuk diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata penjualan jersi tiruan berkenaan turut dikesan di perkarangan Stadium Negeri di Petra Jaya dan menambah tindakan telah diambil terhadap penjualnya.

“Pemantauan akan terus dilakukan oleh pasukan penguat kuasa kementerian di seluruh negeri dan mereka yang ditahan berisiko didenda sehingga RM10,000 untuk setiap sehelai baju atau penjara tidak melebih tiga tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peniaga dan orang ramai supaya menghentikan penjualan jersi tiruan pasukan Sarawak. – Bernama