105 mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan

105 mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan

KUCHING, 31 Dis (Bernama) – Lima pusat pemindahan banjir dibuka di sekitar bahagian Kuching dan Samarahan yang menempatkan 105 mangsa ekoran kenaikan paras air di beberapa tempat akibat hujan lebat, berbanding dua pusat pemindahan pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Sarawak, Siti Huzaimah Ibrahim, berkata Dewan Serbaguna Kampung Sejaei di Sadong Jaya, di bahagian Samarahan ketika ini menempatkan 48 mangsa daripada 10 keluarga.

Beliau berkata pusat pemindahan yang dibuka di bahagian Kuching pula ketika ini terdiri daripada dewan di SMK Tabuan Jaya, SMK Seri Setia, SMK Bako dan Dewan Masyarakat Stapok.

Sementara itu Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam sidang media di sini berkata tinjauan beliau di beberapa tempat yang dilaporkan dinaiki air sekitar sini mendapati air sudah surut di kebanyakan tempat.

Beliau berkata keadaan banjir yang dialami di sekitar bahagian Kuching dan Samarahan ketika ini adalah banjir kilat semata-mata, dan bukannya hujan lebat akibat angin monsun.

Menurutnya beberapa tempat rendah yang dinaiki air mengambil masa untuk surut disebabkan masalah pengairan, namun kebanyakan tempat tidak mengalami kejadian banjir yang serius.

Sementara itu beberapa tempat sekitar pusat bandar raya yang dilaporkan dinaiki air pagi ini didapati sudah kembali pulih apabila hujan di sini sudah berhenti awal petang ini.

Difahamkan ketika ini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang sedang bermesyuarat di bilik gerakan di Wisma Bapa di sini ekoran kejadian banjir hari ini.