107 laporan rosakkan poster calon PRN S’wak

107 laporan rosakkan poster calon PRN S’wak

KUCHING, 4 Mei (Bernama) – Perbuatan merosakkan poster calon-calon adalah antara 107 laporan yang diterima polis berkaitan kesalahan yang didakwa dilakukan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN11) sejak penamaan calon 25 April lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata “setakat hari ini tiada kes besar (yang dilaporkan), cuma kesalahan kecil.”

Ada juga laporan mengenai beberapa kes pertengkaran antara penyokong-penyokong parti yang bertanding pada pilihan raya ini, katanya, kepada pemberita selepas melancarkan program bantuan sumber manusia semua kontinjen polis di Sarawak sempena pilihan raya negeri, di sini hari ini.

Sebuah lori usang yang terbiar di tepi jalan, dihiasi dengan bendera dan poster Barisan Nasional (BN) di Kampung Nangka, Sibu, Ahad lalu sempena Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-11. - Bernama
Sebuah lori usang yang terbiar di tepi jalan, dihiasi dengan bendera dan poster Barisan Nasional (BN) di Kampung Nangka, Sibu, Ahad lalu sempena Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-11. – Bernama

Beliau berkata pihaknya sehingga semalam telah membuka 66 kertas siasatan untuk tindakan lanjut. Muhammad Sabtu berkata kes-kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Menyentuh program yang dilancarkannya itu, PDRM menghantar sebanyak 1,817 anggota bantuan daripada Pusat Latihan Polis Kuching, Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan daripada Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dari seluruh negeri untuk membantu di semua pejabat polis daerah.