107 pain darah berjaya dikumpul

107 pain darah berjaya dikumpul

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN,8 Nov – Dengan hasrat untuk memberikan peluang kepada orang ramai untuk menaburkan bakti serta membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan, sekali lagi Kelab Rotary Bandar Seri Begawan (BSB) dan Pusat Menderma Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah mengadakan Kempen Menderma Darah ke-18 di Dewan Pameran Lexus, Gadong, kelmarin.

Dalam kempen itu, sebanyak 107 pain darah berjaya dikumpul daripada penderma yang bukan sahaja disertai oleh mereka yang berpengalaman tetapi juga daripada penderma baru.

Sejak kempen itu dilaksanakan bersama, sebanyak 1,548 pain darah telah berjaya dikumpulkan dan Presiden Kelab Rotary, Albert Tan, amat menghargai penyertaan para penderma dalam kempen yang dianjurkan sejak bertahun-tahun lamanya.

Beliau menambah, para penderma bukan saja telah menghulurkan khidmat bakti kepada masyarakat tetapi juga telah berjaya memberikan sumbangan yang penuh bermakna bagi golongan yang memerlukan.

Kelab Rotary menyampaikan cenderahati istimewa kepada Haji Sulaiman bin Mohamad yang telah menderma darah sebanyak 52 kali dalam beberapa tahun kebelakangan.
Kelab Rotary menyampaikan cenderahati istimewa kepada Haji Sulaiman bin Mohamad yang telah menderma darah sebanyak 52 kali dalam beberapa tahun kebelakangan.
Antara mereka yang menderma darah semasa Kempen Menderma Darah ke-18 di Dewan Pameran Lexus, Gadong, kelmarin.
Antara mereka yang menderma darah semasa Kempen Menderma Darah ke-18 di Dewan Pameran Lexus, Gadong, kelmarin.

Sementara itu, Penyelia Penderma Darah, Pusat Menderma Darah, Hospital RIPAS, Haji Matusop bin Haji Daud, dipetik sebagai menyatakan penghargaan kepada semua orang yang tampil ke hadapan untuk menderma darah semasa kempen itu.

Beliau juga berkata bahawa beliau amat gembira dengan kutipan sebanyak 107 pain darah kali ini berbanding 89 pain yang dikutip pada kempen sebelumnya pada 25 Julai lalu serta berkata bahawa setiap sumbangan itu amat bermakna.

Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan penghargaan kepada semua pihak media yang menyebarkan maklumat mengenai kempen berkenaan.

Beliau menyatakan harapan agar lebih ramai orang akan menyahut seruan untuk menderma darah yang mana ia bukan saja dapat memberi kebaikan kepada kesihatan sekali gus menyemai rasa tanggungjawab sesama manusia untuk saling membantu antara satu sama lain.

ARTIKEL YANG SAMA