11 anak Merdeka

11 anak Merdeka

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Sebanyak 11 kelahiran telah dicatatkan tatkala Negara Brunei Darussalam menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-32, hari ini.

Daripada jumlah itu, sembilan orang anak damit yang terdiri daripada empat orang lelaki dan lima orang perempuan, telah dilahirkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Bandar Seri Begawan dan dua kelahiran, kedua-duanya anak damit perempuan, dicatatkan di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.

Manakala itu, tiada kelahiran yang dicatatkan di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong; Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam, Temburong; dan Pusat Perubatan Jerudong Park.

Salah satu pasangan bertuah yang ditemui, Dayang Nur Ramizah Ramli, 29, dan suaminya, Haji Abdul Rahman Haji Mohamad, 30, tidak henti-henti menyatakan rasa syukur mereka dengan kelahiran anak damit mereka seberat 4.260kg, yang tidak dijangka dilahirkan hari ini.

Pasangan pertama yang melahirkan anak pada Hari Kebangsaan rasa bersyukur dengan kelahiran anak kedua mereka.
Pasangan pertama yang melahirkan anak pada Hari Kebangsaan rasa bersyukur dengan kelahiran anak kedua mereka.

Dayang Nur Ramizah memberitahu Media Permata, beliau dijangkakan untuk melahirkan pada 22 Februari namun anak damitnya seakan menantikan tarikh yang dinanti-nantikan 23 Februari untuk keluar dari perut ibunya.

“Tarikh dijangka lahir yang dicatatkan mengikut kiraan kelahiran anak damit ini adalah 22 Februari namun tepat pada pukul 12:52 tengah malam pada tarikh 23 Februari 2016, saya pun melahirkan dengan selamat dengan kaedah biasa,” jelasnya.

Anak pertama pasangan tersebut ialah perempuan manakala anak keduanya ini lahir pada Hari Kebangsaan adalah lelaki.