11 Atlet terima anugerah

11 Atlet terima anugerah

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Feb – 11 atlet, lima jurulatih, empat pembantu jurulatih dan empat persatuan sukan kebangsaan hari ini diraikan di majlis penyampaian anugerah Skim Ganjaran kecemerlangan sukan di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian anugerah ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah Setiausaha-setiausaha tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil serta Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Haji Noor Jusmin bin Haji Abd Samad.

Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Zafri bin Haji Mohamed dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan majlis tersebut adalah bagi meraikan atlet yang berjaya dalam Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN ke-6 dan Kejohanan Lawan pedang Junior ASEAN 2015.

Tetamu kehormat menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima. – Gambar Oleh Izah Azahari
Tetamu kehormat menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima. – Gambar Oleh Izah Azahari

Dalam ucapannya beliau juga menegaskan antara mereka yang mendapat banyak anugerah di majlis itu ialah Awang Mohd Noor Firdaus Ar-Rashid bin Haji Mohd Idris (Olahraga) dan Awang Mohd Hardiwan Shah bin Rahim bagi acara Lawan pedang.

Sementara itu antara jurulatih yang menerima anugerah pula antaranya ialah Awang Jalil bin Kassim (Sepak Takraw) dan Yoshea Rayendra Poerawinata, manakala persatuan yang diraikan ialah Persatuan Lawan Pedang Brunei Darussalam dan Persatuan Sepak Takraw Kebangsaan Brunei Darussalam.

“Kejayaan mereka dinilai melalui pencapaian dan komitmen yang ditunjukkan dalam latihan dan sokongan seperti ini akan diteruskan

bagi menggalakkan lagi semangat dan kejayaan para ahli sukan dalam mengharumkan nama negara” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA