11 dihukum penjara seumur hidup atas ‘plot keganasan’ di UAE

11 dihukum penjara seumur hidup atas ‘plot keganasan’ di UAE

ABU DHABI, 27 Mac (AFP) – Sebuah mahkamah tinggi di Amiriah Arab Bersatu (UAE) menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas 11 orang yang disabit bersalah mempunyai kaitan dengan kumpulan jihad dan merancang serangan ‘pengganas’ di negara Teluk itu, lapor media kerajaan.

Mahkamah Agung Persekutuan di Abu Dhabi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas dua yang lain, 10 tahun kepada 13 orang, enam orang selama tiga tahun dan dua orang selama lima tahun, menurut agensi berita rasmi WAM.

Tujuh defendan telah dibebaskan.

Seramai 41 defendan telah dituduh cuba untuk menggulingkan kerajaan bagi menubuhkan sebuah pemerintahan khalifah bercirikan kumpulan Islamic State (IS) di UAE.

Dua yang dipenjarakan seumur hidup itu dibicarakan tanpa kehadiran mereka.

Menurut akhbar Khaleej Times, para defendan tersebut telah disabit bersalah atas ‘rancangan untuk melakukan operasi pengganas di seluruh negara’.

Mereka juga didapati bersalah ‘membahayakan keselamatan dan sekuriti negara dan kehidupan individual, termasuk kepimpinan dan simbol-simbolnya dengan niat untuk menyebabkan kemusnahan kepada negara dan infrastruktur swasta’.

Dakwaan lain termasuk ‘memiliki senjata api dan amunisi dengan niat untuk melakukan serangan,” serta berhubungan dan mengutip dana bagi kumpulan IS dan Al-Nusra Front gabungan Al-Qaeda Syria, lapor Khaleej Times dalam laman webnya.

Pihak berkuasa telah melaporkan penangkapan mereka pada 2 Ogos dan perbicaraan mereka – yang tertutup pada media antarabangsa – telah bermula pada 24 Ogos.