11 maut akibat banjir Lionrock

11 maut akibat banjir Lionrock

TOKYO, 31 Ogos – Hujan lebat akibat Taufan Lionrock telah membanjiri bandar-bandar sekitar utara Jepun dan mengakibatkan kira-kira 11 orang terkorban, kebanyakan mereka warga emas penghuni di rumah jagaan yang tidak dapat menyelamatkan diri semasa air banjir meningkat, kata para pegawai hari ini.

Rumah berkenaan yang terletak di bandar Iwaizumi, yang hanya mempunyai tingkat bawah, termasuk orang yang menderita demensia berusia dalam lingkungan 80-an dan 90-an.

Polis menemui sembilan mayat di sana hari ini semasa memeriksa kemudahan lain di kawasan kejiranan yang ditenggelami air.

Ketika air banjir meningkat naik pada malam Selasa, semua 85 penghuni warga emas dan kakitangan di kemudahan tiga tingkat sebelahnya telah diselamatkan tanpa mengalami kecederaan selepas berpindah ke tingkat atas, kata pegawai wilayah Iwate, Reiko Ouchi.

Seorang penjaga di kemudahan itu memaklumkan pejabat bandar tentang pemindahan mereka ke tingkat tiga, memetik yang sembilan penghuni di sebelah telah terkandas, lapor NHK TV.

Gambar yang disediakan oleh akhbar Tokachi Mainichi menerusi Jiji Press pada 31 Ogos menunjukkan sebuah rumah telah dihanyutkan ke sebatang sungai di bandar Shimizu di wilayah Hokkaido. – AFP
Gambar yang disediakan oleh akhbar Tokachi Mainichi menerusi Jiji Press pada 31 Ogos menunjukkan sebuah rumah telah dihanyutkan ke sebatang sungai di bandar Shimizu di wilayah Hokkaido. – AFP

Ouchi berkata para pegawai sedang menyiasat jika dan bagaimana pegawai bandar bertindak balas atas panggilan itu. Satu arahan pemindahan tidak dikeluarkan.

Seorang pegawai kanan di syarikat yang menguruskan rumah jagaan itu, Hiroaki Sato berkata air banjir melimpah ke kawasan itu dalam kira-kira 10 minit, menjadikan ia amat mustahil untuk sembilan warga emas berkenaan untuk menyelamatkan diri. Air berada di paras dada pada malam Selasa.

Identiti para mangsa dan butiran lain, termasuklah keberadaan penjaga-penjaga mereka tidak diketahui, kata Takehiro Hayashijiri, bahagian pengurusan bencana wilayah.

Pihak berkuasa telah menemukan dua lagi mayat, satu mayat di bandar sama dan kedua di bandar lain Kuji i wilayah Iwate, menurut Agensi Pengurusan Bencana dan Kebakaran.

Tayangan yang disiarkan oleh penyiar kebangsaan Jepun NHK menunjukkan rumah jagaan sebahagiannya tertimbus dalam lumpur, dikelilingi serpihan yang jelas hanyut dalam sungai yang airnya melimpah keluar dari tebingnya. Sebuah kereta berhampiran rumah jagaan itu terbalik. – AP

ARTIKEL YANG SAMA