11 pasukan mempertandingkan projek kebudayaan

11 pasukan mempertandingkan projek kebudayaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Sebanyak 11 buah kumpulan telah mempertandingkan projek mereka dalam Pameran Kebudayaan sempena Program Belia Brunei Berbakti (3B) 2016 anjuran Persatuan Kemajuan Insan (KESAN) yang berlangsung selama dua hari, hingga kelmarin di Dewan Riadah, Pusat Belia di sini.

Program tahun ini yang membawa tema ‘Bruneiku’ mengetengahkan beberapa kategori iaitu Seni Tenunan Brunei, Kenali Negara Kitani (KNK), Permainan Tradisional, Makanan Tradisional, Bahasa Puak Jati Brunei dan Seni Pembuatan Kraf Tangan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pameran ini juga menunjukkan usaha dan pencapaian yang dihasilkan oleh peserta Program 3B sepanjang sebulan ia dijalankan. Sebanyak 716 undian telah diterima daripada kira-kira 240 orang awam yang telah mengunjungi pameran kebudayaan tersebut.

Pemenang telah diumumkan pada Majlis Penutup Program 3B 2016 yang diadakan petang kelmarin dan hadir selaku tetamu kehormat seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Yang Di-Pertua Majlis Belia Brunei, Prof. Madya Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid.

Johan projek menerima wang tunai sebanyak $500, manakala itu naib johan menerima $350 dan tempat ketiga sebanyak $250. Manakala itu, bagi Kumpulan Terbaik, Peserta Lelaki Terbaik dan Peserta Perempuan Terbaik, masing-masing menerima $50.

Prof. Madya Dr. Haji Hashim ketika menyampaikan hadiah kepada salah satu kumpulan.
Prof. Madya Dr. Haji Hashim ketika menyampaikan hadiah kepada salah satu kumpulan.

Johan Projek disandang oleh Kumpulan Belia Brunei Gegati (Kategori Seni Tenunan Brunei), diikuti Kumpulan Kuripit (Kategori Makanan Tradisional) selaku naib johan dan Tempat Ketiga disandang Kumpulan Kami Anak Brunei (KAB) (Kategori KNK).

Manakala itu, Kumpulan Terbaik dimenangi oleh Kumpulan Queen Bees (Kategori Bahasa Puak Jati Brunei), peserta terbaik lelaki disandang oleh Awang Mohammad Bahauddin bin Haji Abu Bakar daripada Kumpulan PONI (Kategori Permainan Tradisional), dan peserta perempuan terbaik ialah Dayang Siti Nurafiqah binti Haji Hashim daripada Kumpulan BD Kraf (kategori Seni Kraf Tangan).

Program 3B merupakan program tahunan KESAN yang bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan belia untuk membina kemahiran insaniah serta menanam semangat untuk berbakti kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan menurut kreativiti dan inisiatif belia itu sendiri.

Seramai 59 orang belia dalam lingkungan umur 18 hingga 25 tahun menyertai Program 3B tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA