11 pekerja minyak rentung

11 pekerja minyak rentung

KHOBAR, Arab Saudi, 30 Ogos (Reuters) – Satu kebakaran di perkarangan rumah pekerja minyak di Arab Saudi hari ini meragut sebelas jiwa dan mencederakan lebih 200 pekerja asing lain yang beberapa daripadanya dalam keadaan kritikal, menurut pihak berkuasa pertahanan awam.

Syarikat minyak negara Saudi Aramco mengatakan punca kebakaran yang meletus di tingkat bawah perkarangan rumah Radium di Khobar masih belum diketahui.

“Pada jam 5:45 pagi ini, satu kebakaran dilaporkan di tingkat bawah perkarangan rumah Radium di Al Khobar yang disewa oleh Saudi Aramco untuk pekerjanya,” kata Aramco dalam satu kenyataan.

Jabatan Pertahanan Awam mengatakan dalam akaun Twitternya bahawa 11 orang telah meninggal dunia sementara 219 lagi cedera, beberapa daripada mereka cedera parah.

“Segala kereta dan perabot habis dijilat api di bilik bawah salah satu menara berkenaan, asap tebal menyelubungi kawasan tersebut, menghambat operasi menyelamat dan memadam kebakaran,” menurut Jabatan Pertahanan Awam dalam satu kenyataan.

Namun setakat ini, kebakaran sudah dapat dikawal.

Saudi Aramco, yang beribu pejabat di Dhahran dan mempunyai lebih 55,000 orang pekerja, kebanyakan mereka ekspatriat, tidak dapat dikenali pasti apa warganegara mereka, namun ia dipercayai kawasan itu menempatkan kalangan ekspatriat.

Menurut laman web Aramco, Kompleks Perumahan Radium terdiri daripada lapan bangunan enam tingkat dan mempunyai 486 unit.

Kolonel Ali Al-Qahtani, jurucakap Pertahanan Awam Wilayah Timur berkata usaha pemindahan diteruskan untuk menyelamat orang dari bumbung. Penghuni berkata helikopter dilihat terbang di kawasan tersebut.

Arab Saudi merupakan pengeksport minyak terbesar di dunia dengan keseluruhan pengeluarannya dihasilkan oleh Aramco.

ARTIKEL YANG SAMA