11 pelajar UNISSA hadiri Persidangan ALSA

11 pelajar UNISSA hadiri Persidangan ALSA

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Serombongan 11 orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini berlepas meninggalkan negara untuk menghadiri Persidangan Persatuan Penuntut-penuntut Undang-undang Asia (ALSA) yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat berlepas kepada mahasiswa dan mahasiswi berkenaan ialah Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Dr. Hajah Masnooraini binti Haji Mohiddin dan Ketua Syariah dan Undang-undang, UNISSA, Dr. Hajah Hanan binti Haji Abdul Aziz, dan ibu bapa serta ahli keluarga para penuntut.

Rombongan mahasiswa dan mahasiswi yang mengikuti pengajian undang-undang syariah dan sivil di UNISSA itu akan menyertai para penuntut dari 14 buah negara di seluruh Asia dalam persidangan yang akan diadakan selama lima hari bermula hari ini hingga 31 Januari.

Semasa persidangan itu nanti, para peserta akan menyertai pelbagai kegiatan akademik dan bukan akademik yang telah disediakan berasaskan kepada tema persidangan iaitu ‘Kembali kepada Asas: Kemanusiaan’, di mana ia membawa erti untuk mengetengahkan prinsip-prinsip asas sifat dan keperluan manusia.

Dr. Hajah Masnooraini dan Dr. Hajah Hanan bergambar ramai dengan rombongan seramai 11 orang penuntut UNISSA yang mewakili Brunei ke Persidangan ALSA.
Dr. Hajah Masnooraini dan Dr. Hajah Hanan bergambar ramai dengan rombongan seramai 11 orang penuntut UNISSA yang mewakili Brunei ke Persidangan ALSA.

Persidangan itu nanti akan meliputi dua bidang undang-undang yang berbeza iaitu undang-undang kemanusiaan dan undang-undang hak manusia antarabangsa. Delegasi pada persidangan nanti itu juga akan menghadiri forum akademik yang akan membincangkan mengenai topik-topik dalam dua bidang undang-undang serta perlindungan hak wanita dan kanak-kanak.

Di samping itu, para delegasi juga akan mengambil bahagian dalam Pertandingan Mahkamah Moot Thomas Philip dan Model Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang membincangkan mengenai topik persidangan berkenaan.

Manakala itu, Lembaga Kebangsaan ALSA Negara Brunei Darussalam yang diwakili oleh Presiden lembaga berkenaan, Dayang Azilla Liyana binti Mohd Azam Zaki, akan mewakili negara ke Mesyuarat Majlis Pentadbir yang turut diadakan semasa persidangan itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA