11 penyokong bola sepak ditahan

11 penyokong bola sepak ditahan

SHAH ALAM, 9 Sept – Seramai 11 penyokong bola sepak termasuk lima pelajar universiti awam dan swasta, ditahan kerana menimbulkan kekecohan sewaktu perlawanan antara Malaysia dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata kesemua lelaki berusia antara 19 dan 36 tahun itu, kini di reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Kesemua yang ditahan berada dalam kumpulan 200 hingga 300 penyokong Ultras Malaya yang mana lima daripadanya adalah penuntut universiti awam dan swasta manakala bakinya bekerja sendiri dan kakitangan syarikat swasta.Dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kesalahan curi. Ujian air kencing ke atas kesemua suspek bagaimanapun didapati negatif,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Tindakan penyokong membaling suar dan bom asap ke padang mengakibatkan perlawanan keempat Harimau Malaya di pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 itu dihentikan pada minit ke-88 ketika pelawat sedang mendahului 2-1.

Shafien berkata turut dirampas ialah 11 telefon bimbit dipercayai digunakan suspek untuk berhubung melalui aplikasi whatsapp dan sistem pesanan ringkas (sms) selain beberapa batang suar, bom asap dan suar roket.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti cara suspek membawa masuk semua bahan terlarang itu sedangkan pihaknya membuat pemeriksaan rapi terhadap setiap penyokong yang memasuki pintu stadium.

Bagaimanapun, Shafien tidak menolak kemungkinan penglibatan penjual minuman di dalam stadium untuk membawa masuk bahan tersebut sebelum perlawanan bermula.

“Ini kerana penjual minuman tidak masuk ke stadium melalui pemeriksaan polis. Jadi kita juga akan siasat kemungkinan bahan larangan itu dibawa masuk melalui mereka atau diletak lebih awal,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata satu mesyuarat penyelarasan akan diadakan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), pemilik stadium dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi mencari penyelesaian terbaik dalam memastikan insiden sama tidak berulang. – Bernama