11 tandas awa...

11 tandas awam dapat Gred A

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Sebanyak 11 tandas awam telah mendapat pengiktirafan sebagai tandas awam Gred A dalam Program Pengauditan dan Pemeriksaan Tandas Awam yang telah dilaksanakan ke atas 65 lokasi di keempat-empat daerah sejak bulan Februari dan berakhir bulan April lalu.

Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Sijil Kecemerlangan Tandas Awam telah diadakan hari ini di empat lokasi tandas awam iaitu Muzium Maritim Brunei Darussalam, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Restoran Kaizen Sushi di Dermaga Diraja yang mendapat pemarkahan tertinggi Gred A.

Hadir menyampaikan sijil Gred A berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

Menurut kenyataan KSSUP, skop kerja pengauditan yang dinilai adalah berdasarkan kepada empat kategori utama iaitu Sistem Pengurusan Persekitaran dan Reka Bentuk; Kemudahan dan Keselesaan; Kebersihan; dan Keselamatan yang selaras dengan kriteria-kriteria digariskan dalam Standard Tandas Awam ASEAN.

Dalam pada itu, pihak pengurusan adalah dikehendaki untuk memastikan setiap tandas awam yang disediakan adalah dalam keadaan bersih, selamat dan selesa.

Tetamu kehormat melihat lebih dekat tandas bertaraf Gred A di LTAB.
Tetamu kehormat melihat lebih dekat tandas bertaraf Gred A di LTAB.

Selain itu, pengurusan tandas awam berkenaan juga perlu mengamalkan pengurusan air dan pelupusan sisa yang betul serta memastikan semua peralatan dan kemudahan yang disediakan adalah bersesuaian di samping menyediakan tenaga kerja yang khusus untuk mengendalikan tandas berkenaan.

Sepanjang kerja-kerja pemeriksaan itu, Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkepentingan iaitu Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan dan Kementerian Kesihatan telah menjalankan penilaian yang meliputi sebanyak 28 buah restoran, 11 pusat membeli-belah, 21 tempat-tempat yang menarik dan sering dikunjungi pelancong serta semua pos kawalan masuk ke negara ini.

Hasil daripada pengauditan berkenaan, sebanyak 11 tandas awam telah pun mendapat Gred A, 14 tandas awam mendapat Gred B dan selebihnya dikategorikan Gred C dan Gred D.

Antara tandas awam lain yang mendapat Gred A ialah Restoran Tasek Brasserie, Hotel Radisson, Restoran Horizon Port View, Muzium Teknologi Melayu, Restoran Tarindak d’Seni, Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer, Pusat Penemuan Gas dan Minyak (OGDC) di Daerah Belait dan Taman Warisan Tasek Merimbun di Daerah Tutong.

Program pengauditan dan pemeriksaan tandas-tandas awam ini merupakan satu inisiatif di bawah Lembaga Kemajuan Pelancongan Brunei Darussalam (BTB) dengan sokongan KSSUP, akan dilaksanakan secara berterusan dan berperingkat-peringkat di mana melalui usaha ini, ia diharapkan akan dapat meningkatkan lagi kesedaran semua pihak akan kepentingan terhadap kebersihan tandas awam dan memastikan semua penyelenggaraan dan pengurusan seluruh tandas awam di negara ini mengikut piawaian yang ditetapkan.

Selain itu, ia juga merupakan persediaan awal negara ini bagi menyertai Anugerah Standard Tandas Awam ASEAN yang akan berlangsung semasa Forum Pelancongan ASEAN pada tahun 2019 nanti.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai senarai pencapaian bagi semua tandas awam yang telah dibuat pengauditan bolehlah melayari laman sesawang Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP di www.tourism.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA