11 tentera Mali kecundang

11 tentera Mali kecundang

BAMAKO, 4 Ogos (AFP) – Sebelas anggota tentera terbunuh semalam dalam serangan “pengganas” ke atas kem mereka di wilayah Timbuktu di utara Mali, menurut kenyataan kerajaan, serangan yang diakui dilakukan kumpulan ada kaitan dengan Al-Qaeda di rantau berkenaan.

Serangan kumpulan jihad sudah lama memberi tumpuan ke atas wilayah utara di Mali, tetapi mula meluas pada awal tahun ke bahagian tengah negara berkenaan, dan pada Jun ke selatan berhampiran sempadan dengan Ivory Coast dan Burkina Faso.

“Kumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali menyerang pusat pemeriksaan keselamatan Pengawal Kebangsaan Mali” pada awal pagi semalam di Gourma-Rharous, kawasan sekitar 140 kilometeres ke timur Timbuktu, kata kenyataan itu.

“Jumlah pengawal yang maut adalah 11 orang, seorang mengalami kecederaan,” tambahnya, sambil mengutuknya sebagai “tindakan pengganas yang pengecut dan tidak bertamadun”.

Seorang penduduk tempatan memberitahu AFP bahawa mereka “mencari tempat berlindung” pada pagi semalam ketika serangan berlaku.

“Kami mula meninggalkan kediaman pada pukul 7:00 pagi. Kami sungguh takut.”

Menurut agensi berita Mauritania, Al-Akhbar, kumpulan jihad Al-Qaeda di Maghreb Islam (AQIM) mendakwa bertanggungjawab melalukan serangan tersebut.

“Para pejuang kami menyerang pada waktu subuh ke atas kem tentera Mali di kampung ini dan kami berjaya membunuh sembilan anggota tentera,” jurucakap AQIM Abou Darda Al-Chinguitty berkata melalui telefon, menurut agensi berita berkenaan.

Mereka juga “memusnahkan empat kenderaan dan merampas barang barang,” tambah jurucakap itu.