11 warga asing salah guna lesen pekerja

11 warga asing salah guna lesen pekerja

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Seramai 11 warga asing telah didapati melakukan kesalahan penempatan dan jawatan yang tidak selaras dengan Kebenaran Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing dalam Operasi Rempuh 168/2015 yang menyasarkan warga asing berjual dan berjaja di sepanjang tepi Jalan Dato Taib 1, di sini, kelmarin.

Kesalahan berkenaan membabitkan lima lelaki dan dua perempuan warga asing pekerja syarikat, seorang berjawatan amah, seorang warga asing menggunakan jaminan pas lawatan dan dua lagi menggunakan jaminan Dependant Pass.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh, hari ini, seramai 14 orang Pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Buruh telah menjalankan pemeriksaan bermula jam 7 pagi.

Bagi kesalahan penempatan dan jawatan pekerja asing berkenaan akan diambil tindakan pembatalan /pengurangan kuota oleh Jabatan Buruh ke atas Kebenaran Lesen Mengambil dan Mengaji Pekerja Asing majikan dan pekerja berkenaan akan dibatalkan sokongan pas kerja dan dipulangkan ke negara asal.

Manakala bagi kesalahan menggunakan pas lawatan dan Dependant Pass akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan bagi tindakan selanjutnya.

Operasi Rempuh menyasarkan warga asing yang berjual dan berjaja di sepanjang tepi Jalan Dato Taib 1, kelmarin.
Operasi Rempuh menyasarkan warga asing yang berjual dan berjaja di sepanjang tepi Jalan Dato Taib 1, kelmarin.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh dalam kenyataannya, sekali lagi mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak menyalahgunakan Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing yang diberikan.

Kesalahan mengambil dan menggaji pekerja asing tanpa kebenaran Pesuruhjaya Buruh, boleh diambil tindakan di bawah Bab 112 (1) Perintah Pekerjaan 2009 dan jika sabit kesalahan boleh diambil tindakan undang-undang kesalahan di bawah Bab 112 (3) Perintah yang sama iaitu denda tidak kurang $6,000 dan tidak lebih $10,000 atau penjara tidak kurang enam bulan serta tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai bolehlah menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Buruh di talian 2381848 jika mempunyai sebarang maklumat mengenai penyalahgunaan Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing.

ARTIKEL YANG SAMA