110 wartawan terbunuh di seluruh dunia tahun ini

110 wartawan terbunuh di seluruh dunia tahun ini

PARIS, 29 Dis – Sejumlah 110 wartawan terbunuh di seluruh dunia dalam tahun 2015, menurut Reporters Without Borders (RSF) hari ini, dengan memberi amaran bahawa lebih ramai lagi menjadi sasaran kerana tugas mereka di negara-negara yang dikatakan aman.

Seramai 67 wartawan terbunuh ketika bertugas tahun ini, dan 43 lagi mati dalam keadaan yang tidak jelas, menurut kumpulan pemerhati dalam perhimpunan tahunannya.

Sementara 27 orang lagi adalah ‘wartawan rakyat’ bukan profesional dan tujuh lagi pekerja media juga terbunuh.

Jumlah tertinggi ialah ‘sebahagian besarnya berpunca daripada keganasan disengajakan ke atas wartawan’ dan memperlihatkan kegagalan usaha untuk melindungi kakitangan media, menurut laporan itu, dengan menggesa PBB supaya bertindak.

Laporan ini terutamanya memperlihatkan peranan meningkat ‘kumpulan bukan negeri’ – kerap pejuang jihad seperti kumpulan Islam IS – dalam melakukan kekejaman ke atas wartawan.

Dalam tahun 2014, menurutnya, dua pertiga wartawan terbunuh dalam zon perang. Tetapi dalam tahun 2015, ia bertentangan pula: “Dua pertiga terbunuh di negara-negara yang aman.”

“Pembentukan mekanisme khusus bagi menguatkuasakan undang-undang antarabangsa berhubung perlindungan wartawan adalah amat penting,” kata Setiausaha Agung RSF Christopher Deloire.

“Kumpulan bukan negeri melakukan kekejaman sasaran sementara terlalu banyak kerajaan tidak mematuhi obligasi mereka di bawah undang-undang antarabangsa.”

“Seramai 110 orang wartawan yang terbunuh tahun ini perlukan respons yang bersesuaian dengan kecemasan. Wakil khas setiausaha agung PBB bagi keselamatan wartawan mesti dilantik tanpa bertangguh lagi.”

Kira-kira 67 kematian menjadikan 787 jumlah wartawan yang telah dibunuh, dengan sengaja disasarkan atau dibunuh ketika bertugas sejak 2005, menurut pertubuhan yang beribu pejabat di Paris. Dalam tahun 2014, terdapat 66 kematian seumpama itu. – AFP