113 calon SPM...

113 calon SPM Sabah cemerlang

KOTA KINABALU, 16 Mac – Seramai 113 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 di Sabah memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran, kata Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Mohd Kassim Mohd Ibrahim.

Beliau berkata sekalipun angka itu jatuh berbanding 142 pelajar pada 2015, keseluruhannya keputusan SPM Sabah adalah meningkat dengan 48.60 peratus daripada 16,321 calon lulus semua subjek berbanding 48.44 peratus pada tahun sebelumnya.

Ketika mengumumkan keputusan SPM 2016 Sabah di sini hari ini, Mohd Kassim berkata Gred Purata Nasional Sabah juga bertambah baik kepada 5.64 berbanding 5.66 pada 2015.

Beliau berkata peratus calon yang layak mendapat sijil merosot sedikit kepada 85.91 peratus berbanding 86.81 peratus pada 2015.

Mohd Kassim turut mengumumkan 10 sekolah cemerlang SPM tahun ini antaranya Sekolah Menengah Sains Kota Kinabalu, Sekolah Menengah Sains Lahad Datu, Sekolah Menengah St. Michael Penampang, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Inanam dan Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu.

Sementara itu, Gan Min Hong dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agaseh di Lahad Datu yang memperoleh 8A+ dan 3A dinobatkan sebagai pelajar cemerlang SPM 2016 peringkat negeri Sabah. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA