114 projek tebatan banjir diluluskan

KUCHING, 13 Nov – Kerajaan negeri melalui inisiatif transformasi luar bandar telah meluluskan 114 projek tebatan banjir negeri dengan had maksimum RM100 juta, dengan 97 daripada projek itu yang bernilai RM45.78 juta sedang dilaksanakan pada 2017, kata Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datuk Penguang Manggil.

Beliau berkata adalah dijangkakan 63 projek, semuanya dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan majlis tempatan, akan dijalankan dalam tahun ini manakala bakinya akan diteruskan pada 2018.

“Di bawah Projek Transformasi Luar Bandar Negeri (RTP), terdapat 115 projek berkaitan tebatan banjir dengan peruntukan RM25.04 juta yang telah diluluskan dan kini sedang dilaksanakan JPS dan pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Katanya sebagai tambahan, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Persekutuan telah memperuntukkan RM7.02 juta kepada pihak berkuasa tempatan di negeri ini tahun ini bagi melaksanakan projek tebatan banjir.

Beliau berkata Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) pusat telah meluluskan RM27.55 juta kepada JPS bagi melaksanakan projek tebatan banjir. – Bernama