11,994 ular cari tempat sejuk akibat panas melampau

11,994 ular cari tempat sejuk akibat panas melampau

KUANTAN, 22 April – Jumlah tangkapan ular yang dilakukan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di seluruh negara sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini, dilaporkan meningkat berikutan faktor cuaca panas melampau.

Ketua Pengarah JPAM Datuk Ogu Salim Omar berkata sejak Jan hingga Mac lepas sebanyak 11,994 kes tangkapan ular direkodkan oleh jabatan itu, iaitu meningkat 603 kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Tahun ini negara kita menghadapi musim panas dan kering, jadi ular pun hendak mencari tempat perlindungan yang sejuk, lari daripada tempat panas misalnya masuk ke dalam rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Kem Tahunan Pertahanan Awan Politeknik Malaysia Siri 3 2016 di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Pahang (POLISAS) di sini, hari ini.

Ogu Salim berkata kesedaran yang meningkat dalam kalangan masyarakat tentang kebolehan anggota JPAM menjinakkan reptilia berkenaan juga antara faktor peningkatan kes yang dikendalikan agensi itu.

“Saya juga hendak nasihatkan kepada orang ramai apabila menjumpai binatang berbisa ini, jangan ambil tindakan sendiri sebab ular ini ada banyak jenis seperti ular tedung dan ular sawa yang masyarakat tidak tahu.

“Jadi terus sahaja hubungi talian MERS (Malaysian Emergency Response Services) 999.

Kami sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan yang terdiri daripada anggota terlatih untuk membantu menangani situasi kecemasan tersebut,” katanya.

Sementara itu, katanya JPAM bercadang menambahkan bilangan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam pada peringkat komuniti.

Langkah itu, katanya sebagai usaha melatih penduduk kampung tentang cara mengendalikan kes kecemasan terlebih dahulu sementara menunggu anggota penyelamat tiba di lokasi.

Ogu Salim berkata setakat ini lebih 4,000 anggota pasukan itu ada di seluruh negara dengan diketuai ketua kampung yang telah dilatih dengan Asas Pertahanan Awam.

“Mereka (penduduk kampung) dilatih mengendalikan sesuatu situasi itu sebelum pasukan penyelamat sampai, misalnya apabila banjir, apa yang perlu dilakukan untuk membantu komuniti sebelum pasukan penyelamat tiba,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA