12 ahli PGGMB ke Singapura

12 ahli PGGMB ke Singapura

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Sept – Seramai 12 orang ahli Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), hari ini, berlepas ke Republik Singapura bagi menghadiri Seminar Pertemuan Guru-guru Nusantara ke-16, yang bermula esok.

Seminar dua hari itu bertujuan mengukuhkan lagi bidang kerjasama hal ehwal pendidikan dan kebudayaan dalam kalangan negara-negara rumpun Melayu di rantau ASEAN, khususnya bidang Bahasa Melayu atau Bahasa Nusantara. Seminar disertai oleh persatuan-persatuan guru dari negara rumpun Melayu dalam pertubuhan ASEAN iaitu Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Indonesia dan Singapura, yang juga merupakan negara-negara ahli Majlis Guru-guru ASEAN.

Negara Brunei Darussalam diwakili oleh PGGMB, Malaysia diwakili Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Indonesia diwakili Persatuan Guru-guru Republik Indonesia dan tuan rumah, Republik Singapura pula diwakili oleh Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura.

Sebahagian daripada ahli PGGMB yang berlepas ke Singapura.
Sebahagian daripada ahli PGGMB yang berlepas ke Singapura.

Menurut kenyataan PGGMB, seminar tahun ini bertema ‘Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Pendidikan Abad ke-21’ yang akan menekankan kepentingan penggunaan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan di abad ke-21 ini khususnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah.

Semasa seminar itu nanti, setiap peserta negara akan membentangkan kertas kerja utama dengan memfokuskan kepada amalan-amalan terkini penggunaan ICT dalam bidang pengajaran dan pembelajaran di negara masing-masing.

Singapura juga akan melancarkan “Bulan Bahasa 2015” bersempena dengan perasmian seminar berkenan.

ARTIKEL YANG SAMA