12 anak damit maut kebakaran wad hospital di Baghdad

12 anak damit maut kebakaran wad hospital di Baghdad

BAGHDAD, 10 Ogos – Insiden kebakaran yang mengakibatkan wad bersalin di salah sebuah hospital terbesar di Baghdad ranap hari ini, telah membunuh sekurang-kurangnya 12 anak damit yang baru lahir, kata pegawai perubatan dan keselamatan.

Jassem Lateef al-Karkh, dari direktorat kesihatan Baghdad, memberitahu kepada pemberita bahawa hanya tujuh bayi dapat diselamatkan dan dibawa ke wad lain di ibu negara Iraq.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Ahmed al-Rudeini memberitahu AFP kebakaran di hospital Yarmuk di barat Baghdad itu berpunca daripada kerosakan pada bekalan elektrik tengah malam semalam (2100 GMT Selasa).

“Seramai 29 pesakit wanita yang berada di wad yang sama telah dipindahkan ke hospital lain,” katanya.

Perkhidmatan keselamatan menutup kawasan itu sementara pasukan forensik sedang melakukan usaha menyelamat dengan keadaan saudara mara mangsa yang marah sedang menunggu di luar menantikan maklumat daripada pihak berkuasa.

Inkubator yang terbakar diletakkan di luar hospital Yarmuk di barat Baghdad semalam selepas satu kebakaran telah meranapkan wad bersalin, membunuh sekurang-kurangnya 11 anak damit yang baru lahir, kata sumber perubatan dan keselamatan. – AFP
Inkubator yang terbakar diletakkan di luar hospital Yarmuk di barat Baghdad semalam selepas satu kebakaran telah meranapkan wad bersalin, membunuh sekurang-kurangnya 11 anak damit yang baru lahir, kata sumber perubatan dan keselamatan. – AFP

Inkubator terbakar dapat dilihat di luar salah satu pintu masuk ke hospital, akses laluan yang dikawal ketat oleh pihak polis.

Kesedihan ibu bapa dan saudara-mara yang berkabung diburukkan lagi dengan kesukaran mereka untuk mengenal pasti anak damit yang baru dilahirkan akibat kesan api tersebut.

Umm Ahmed datang ke Yarmuk pada Selasa apabila seorang saudara rapat perempuannya melahirkan anak damit. Anak damit itu meninggal dunia dalam kebakaran itu dan ibunya mengalami kecederaan akibat melecur, katanya.

“Saya sedang mencari anak damit lelaki saya, mereka memberitahu saya untuk mencarinya di dalam peti sejuk,” kata seorang wanita pertengahan umur.

“Saya mendapati mereka dalam kotak kadbod kecil tetapi saya tidak pasti jika ia adalah anak kami atau sekeping span. Ia kelihatan seperti arang,” kata wanita itu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA