12 berhimpit dalam berek kecil

12 berhimpit dalam berek kecil

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 12 Nov – Demi menyara anak dan cucu-cucunya, seorang balu warga emas terpaksa menggagahi semangatnya untuk mencari sumber rezeki walaupun kudratnya sudah tidak seberapa kuat disebabkan faktor usia.

Itulah nasib yang dialami oleh Dayang Muneerah binti Abdullah, 65, yang mendakwa hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Beliau pada masa ini terpaksa hidup sebumbung di berek tumpangan kerajaan bersama 12 orang ahli keluarganya terdiri daripada lima orang anaknya, seorang menantu dan lima orang cucu yang masing-masing berusia antara enam bulan hingga tujuh tahun.

Dayang Muneerah yang ditemui sedang berjaja sayur sebagai pendapatan hariannya di kawasan berek kerajaan Lorong Tiga dan kawasan STKRJ Lorong Tiga kelmarin, memberitahu Media Permata, dengan wang pencen tua $250 sebulan, memang tidak cukup untuk menampung semua perbelanjaan termasuk pembayaran berek $45 sebulan, di samping bil elektrik dan air.

Menurutnya sejak kejadian kebakaran ke atas rumahnya di Simpang 43-8, STKRJ Lorong Tiga Selatan Seria, pada hari raya keempat, tiga tahun lalu, mereka sekeluarga anak-beranak dan cucu telah ditempatkan di Simpang 198-72, Blok 383 B, Berek Kerajaan Lorong Tiga, yang hanya mempunyai dua buah bilik dan terlalu kecil untuk menampung mereka semua.

Keadaan rumah Dayang Muneerah di STKRJ Lorong Tiga Seria yang mengalami kerosakan akibat kejadian kebakaran tiga tahun lalu.
Keadaan rumah Dayang Muneerah di STKRJ Lorong Tiga Seria yang mengalami kerosakan akibat kejadian kebakaran tiga tahun lalu.
Dayang Muneerah bersama cucu-cucunya, ketika ditemu bual di kediaman beliau.
Dayang Muneerah bersama cucu-cucunya, ketika ditemu bual di kediaman beliau.

“Sejak kejadian kebakaran ke atas rumah kami, dan kerana kesempitan hidup, kami tidak mampu untuk membaik pulih rumah kami itu, yang pernah dianggarkan memerlukan kira-kira $20,000 ke $30,000 untuk diperbaiki, dan saya juga tidak mampu untuk membeli insurans rumah itu,” katanya.

Beliau turut memberitahu anak-anaknya yang tidak mempunyai pendidikan tinggi, amat sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

Anak lelaki sulungnya, sering turun ke laut untuk menangkap ikan sebagai menambah pendapatan, tetapi kadang-kadang terutama musim tengkujuh dia juga tidak memperolehi apa-apa hasil tangkapan ikan.

Manakala dua orang anak perempuannya yang sudah bercerai dan mempunyai anak juga terpaksa tinggal bersamanya.

Salah seorang daripada mereka bekerja dengan gaji yang kecil serta tidak dapat menampung membeli keperluan seperti lampin pakai buang, susu anak damit dan sebagainya.

“Untuk menjadi modal pusingan, saya menggunakan sedikit wang pencen usia tua, untuk membeli sayur daripada kawan, untuk dijual, dan hasilnya untuk membeli sedikit keperluan cucu-cucu saya yang masih kecil.

“Kadang-kadang jika terlalu kesempitan tiada mempunyai barang keperluan, saya akan pergi ke rumah kenalan di berek ini, untuk meminta bantuan mendapatkan sedikit makanan,” katanya sambil mengesat air matanya.

Dayang Muneerah yang suaminya telah meninggal enam tahun lalu, merupakan seorang mualaf dengan pemegang kad pengenalan ungu, turut mendakwa pernah menghadapkan permohonan ke jabatan berkenaan, tetapi masih belum mendapat jawapannya.

Harapan beliau, supaya rumah peninggalan suaminya yang mengalami kerosakan akibat kebakaran di salah sebuah bilik tidur itu, dapat diperbaiki, untuk keselesaan mereka hidup sekeluarga, yang pada masa ini, terpaksa berpadat tidur di berek kediaman sementara mereka, selain tidak mempunyai sebarang kemudahan, seperti tilam yang cukup dan terpaksa tidur beralaskan selimut kain.

Tinjauan Media Permata, ke berek tumpangan mereka, keluarga itu terpaksa mendinding sebahagian kecil ruang tamu dengan papan buangan untuk tempat tidur anak lelaki sulungnya bersama isteri, manakala Dayang Muneerah serta anak-anak lain serta cucu tidur di salah sebuah bilik. Sebuah bilik lagi untuk anak perempuannya bersama anak-anak kecilnya.

Dan semasa meninjau ke rumah mereka yang mengalami kerosakan akibat kebakaran, Media Permata mendapati kerosakan teruk di salah sebuah bilik tidur, sementara ruang lainnya hanya mengalami sedikit kerosakan akibat kebakaran dan kerja-kerja memadam api semasa kejadian.

Sementara itu Ketua Kampung STKRJ Lorong Tiga, Haji Saidin bin Haji Ibrahim, semasa ditemui Media Permata di kediamannya, mengaku Dayang Muneerah pernah datang mengadu tidak mempunyai keperluan makanan, dan atas inisiatif penghulu dan ketua kampung itu, telah membuat kutipan untuk membantunya.

Selain itu, untuk membaik pulih rumah balu itu juga sudah diusahakan, tetapi belum ada pihak tertentu yang membantu, dan menambah kata;

“Kami tidak tahu bagaimana caranya untuk mendapatkan bantuan daripada pihak Yayasan.”

“Melihat penderitaan yang ditanggung oleh Dayang Muneerah, kami berharap ada pihak yang tampil ke hadapan membantu membaik pulih rumah mereka, supaya mereka boleh tinggal lebih selesa sekeluarga, berbanding keadaan yang mereka alami pada masa ini,” ujar Haji Saidin.

ARTIKEL YANG SAMA