12 cedera dalam letupan nekad

12 cedera dalam letupan nekad

BERLIN, 25 Julai – Seorang penghijrah Syria telah meledakkan bahan letupan berhampiran festival muzik terbuka di selatan Jerman yang mengorbankan nyawanya sendiri dan mencederakan dua belas yang lain dalam serangan ketiga yang melanda rantau itu dalam tempoh seminggu, menurut pihak berkuasa hari ini.

Penghijrah berusia 27 tahun itu pernah menghabiskan masanya di kemudahan psikiatri, tetapi pihak berkuasa berkata serangan itu ‘kelihatannya’ mempunyai motif pejuang Islam di bandar Ansbach pada malam Ahad di bandar Ansbach.

Jumaat lalu Jerman berdepan dengan amukkan penembakan di pusat membeli belah yang mengorbankan sembilan orang di Munich dan empat orang tercedera dalam serangan kapak di sebuah kereta api di Wuerzburg pada 18 Julai lalu.

“Kerajaan sangat terkejut dengan peristiwa hujung minggu itu,” jurucakap timbalan kerajaan, Ulrike Demmer berkata hari ini.

Ketiga-tiga serangan berlaku di Bavaria, yang telah menjadi tempat laluan bagi ribuan orang pelarian Syria di bawah dasar Canselor Jerman Angela Merkel iaitu dasar pintu terbuka.

Polis bekerja di tapak tempat penghijrah Syria meletupkan bahan letupan di Ansbach, selatan Jerman pada 25 Julai. – AFP
Polis bekerja di tapak tempat penghijrah Syria meletupkan bahan letupan di Ansbach, selatan Jerman pada 25 Julai. – AFP

Menurut polis lelaki itu berhasrat menyasarkan festival muzik semalam tetapi tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai tiket, dan meledakkan bom letupan di luar kafe berhampiran.

Penjenayah itu terbunuh dalam letupan itu, polis berkata dalam satu kenyataan, dan seorang jurucakap wanita berkata 12 orang tercedera, tiga dari mereka cedera parah.

“Pada pandangan peribadi saya ia kelihatan seperti serangan berani mati kumpulan jihad sebenar,” kata Menteri Dalam Negeri Bavaria, Joachim Herrmann.

Herrmann memberi amaran bahawa disebabkan kebimbangan keselamatan yang semakin ditingkatkan, ia sepertinya ‘hak pencari perlindungan akan terjejas’ akibat peristiwa pada minggu lalu itu.

Letupan semalam berlaku berhampiran sebuah kafe di pusat bandar Ansbach, tidak jauh dari tempat lebih 2,500 orang berhimpun menyaksikan konsert, pada sekitar pukul 10 malam.

Polis hari ini sedang menggeledah sebuah rumah pelarian tempatan, namun jurucakap enggan untuk mengatakan sama ada ia adalah tempat penyerang itu tinggal.

Timbalan ketua polis Ansbach Roman Fertinger berkata terdapat ‘indikasi’ kepingan logam ditambah pada bahan letupan itu.

Herrmann berkata penyerang itu, yang telah datang ke Jerman dua tahun lalu tetapi permohonan suakanya telah ditolak selepas setahun, telah cuba membunuh dirinya sendiri sebanyak dua kali sebelum ini dan telah pernah dirawat di klinik psikiatri.

Penyerang itu, yang tinggal di Ansbach, telah pun dikenali oleh pihak polis, terutamanya atas kesalahan berkaitan dadah, Herrmann juga memberitahu agensi berita DPA.

Bagaimanapun, seorang pekerja sosial yang kenal diri penyerang, Reinhold Eschenbacher, menggambarkan dirinya sebagai ‘mesra, sederhana dan baik’ apabila dia datang ke pejabatnya untuk mengambil barangan kebajikan. – AFP