12 cedera pergelutan di kedutaan Turki di Tokyo

12 cedera pergelutan di kedutaan Turki di Tokyo

TOKYO, 25 Okt (AFP) – Sekurang-kurangnya 12 orang cedera dalam pergelutan antara warga Turki dan etnik Kurdis ketika beratus-ratus warga Turki berkumpul hari ini di kedutaan mereka di Tokyo untuk mengundi dalam pilihan raya umum, menurut laporan.

Rakaman televisyen menunjukkan polis meleraikan pergelutan antara warga Turki dan etnik Kurdis di hadapan kedutaan Turki ketika pengundian bagi pilihan raya 1 November bermula awal hari ini di Jepun.

Turut tercedera termasuk dua pegawai polis, Tokyo Broadcasting System berkata, sambil menambah bahawa punca pergaduhan tidak segera diketahui. Tetapi Jiji Press, memetik seorang pengundi Turki, berkata pertempuran bermula selepas etnik Kurdis cuba untuk memaparkan bendera sebuah parti pro-Kurdish.

“Saya tiba-tiba diserang oleh orang Turki ketika saya berada di dalam kereta bersama-sama rakan-rakan saya,” seorang lelaki Kurdis yang bajunya telah koyak, memberitahu badan penyiar itu di hadapan kedutaan berkenaan, yang dikawal ketat polis tempatan.

Pengundi Turki berkumpul di hadapan kedutaan Turki di Tokyo semasa anggota polis rusuhan Jepun berjaga hari ini, selepas pergelutan antara Turki dan Kurdish. – AFP
Pengundi Turki berkumpul di hadapan kedutaan Turki di Tokyo semasa anggota polis rusuhan Jepun berjaga hari ini, selepas pergelutan antara Turki dan Kurdish. – AFP

Pilihan raya yang diadakan pada ketika keganasan meningkat di tenggara Turki yang majoriti penduduknya adalah orang Kurdis di sebalik gencatan senjata 2013, buat masa ini mematikan harapan penamatan pemberontakan tiga dekad yang telah mengorbankan berpuluh-puluh ribu jiwa.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengadakan pilihan raya selepas parti memerintah beliau, Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) kehilangan majoriti pentadbirannya buat pertama kali dalam pilihan raya 7 Jun, yang memaksanya mengadakan rundingan campuran yang berakhir dengan kegagalan.

AKP telah memenangi tiga pilihan raya umum yang diadakan pada tahun 2002, 2007 dan 2011, tetapi kehilangan keseluruhan majoritinya tahun ini setelah sokongan diberikan kepada parti proKurdis.

Keputusan itu memusnahkan impian Erdogan mewujudkan jawatan presiden gaya AS yang mempunyai pengaruh, dengan kuasa penuh eksekutif.