12 ditahan, terlibat dalam rangkaian seludup anak damit

12 ditahan, terlibat dalam rangkaian seludup anak damit

KOLKATA, 24 Nov – Dua belas orang ditahan di timur India kerana memperdagang anak damit baru lahir, yang diseludup keluar dari klinik dalam kotak-kotak biskut, kata polis.

Polis telah melumpuhkan rangkaian anak angkat haram selepas mereka menemui tiga orang anak damit baru lahir dalam sebuah kotak kadbod yang dibawa dari sebuah klinik di utara Kolkata malam Isnin lalu.

Pemilik klinik bersama tujuh yang lain telah ditahan pada Isnin manakala empat orang lagi ditahan pada Rabu susulan satu serbuan ke atas sebuah klinik lain.

Seorang anak damit perempuan yang dicuri, telah dikembalikan semula kepada ibu bapanya, manakala ibu kepada dua anak damit lagi sedang dikenalpasti, kata seorang pegawai kanan polis, Bharatlal Meena memberitahu AFP.

Kesemua anak damit itu berusia antara tiga hingga lima hari, katanya.

Penduduk-penduduk setempat berdiri di hadapan sebuah rumah penjagaan dan poliklinik selepas pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Bangal Barat menyita rumah penjagaan utama di Barudia, kira-kira 65 km ke barat Kolkata, kelmarin. – AFP
Penduduk-penduduk setempat berdiri di hadapan sebuah rumah penjagaan dan poliklinik selepas pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Bangal Barat menyita rumah penjagaan utama di Barudia, kira-kira 65 km ke barat Kolkata, kelmarin. – AFP

“Kami bimbang terdapat sekurang-kurangnya 45 orang anak damit baru lahir diseludup oleh kumpulan tersebut sejak dua tahun lalu,” kata Meena sambil menambah bahawa klinik-klinik telah dibayar 200,000 rupees (AS$2,900) bagi seorang anak damit lelaki dan separuh harga tersebut bagi anak damit perempuan.

“Sesetengah wanita yang dimasukkan ke klinik bersalin diberitahu bahawa mereka telah melahirkan anak damit yang sudah meninggal dunia. Jika si ibu ingin melihat anak damitnya, pekerja klinik tersebut akan memberitahunya yang anak damit itu amat menakutkan. Kebanyakan masa ibu bapa akan pulang ke rumah tanpa melihat anak damit mereka,” kata Meena. Anak-anak damit telah dicuri dari sekurang-kurangnya empat buah klinik di kawasan berkenaan dan disimpan dalam kotak sebelum diserahkan kepada sebuah badan kebajikan. Badan kebajikan itu kemudiannya menyerahkan anak damit tersebut kepada seorang ejen yang bekerja bagi pihak bakal keluarga angkat, jelas Meena lagi.

“Para penyiasat telah memperoleh bukti bahawa anak-anak damit baru lahir itu diperdagangkan ke beberapa buah bandar raya termasuk sebuah di Amerika Syarikat.”

Tahun lepas polis di New Delhi telah melumpuhkan sebuah badan amal yang didakwa menjual dua puluh anak damit dan kanak-kanak kepada pasangan-pasangan dengan harga sehingga 550,000 rupee seorang. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA