12 ditangkap bergaduh di kawasan masjid Al-Aqsa

12 ditangkap bergaduh di kawasan masjid Al-Aqsa

BAITULMUQADDIS, 25 Mei (AFP) – Polis Israel mengatakan mereka telah menangkap enam warga Palestin dan enam Israel hari ini selepas satu pergaduhan berlaku di kawasan masjid Al-Aqsa di timur Baitulmuqaddis, tempat yang selalu terjadinya ketegangan keagamaan.

“Warga Palestin telah ditangkap semasa cuba untuk menghalang orang Yahudi daripada memasuki Temple Mount,” kata jurucakap polis wanita, Luba Samri, menggunakan nama Yahudi bagi tapak itu yang dianggap suci oleh kedua-dua agama berkenaan.

Pasukan keselamatan kemudian menangkap empat Yahudi yang melanggar peraturan melarang mereka untuk sembahyang di sana dan dua lagi Yahudi kerana menimbulkan gangguan, katanya.

Esplanad itu amat dihormati sebagai tapak suci dalam agama Yahudi dan tempat suci ketiga dalam Islam.

Orang Yahudi dibenarkan untuk memasuki kawasan itu, namun dilarang untuk bersembahyang di sana kerana bimbang mencetuskan ketegangan dengan jemaah Islam.