12 fakir terima rumah

12 fakir terima rumah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Sebanyak 12 buah rumah hari ini telah diserahkan kepada 12 penerima terdiri daripada golongan daif, fakir dan miskin bagi Kawasan Tagap I, Kampung Sengkurong B, Mukim Sengkurong.

Penyerahan sijil-sijil rumah bantuan berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Sengkurong pagi ini dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Abdul Wahab bin Juned.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Jumat bin Akim, Setiausaha Tetap (Undang-undang dan Kesejahteraan) Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Juanda bin Haji Abdul Rashid dan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.

Sembilan buah daripada rumah-rumah tersebut adalah jenis bertiang tiga bilik manakala tiga buah lagi adalah jenis banglo tiga bilik.

Dato Paduka  Haji Abdul Wahab semasa melawat rumah salah seorang penerima.
Dato Paduka Haji Abdul Wahab semasa melawat rumah salah seorang penerima.
Dayang Rapiah semasa ditemu bual.
Dayang Rapiah semasa ditemu bual.

Dato Paduka Haji Abdul Wahab turut mengadakan lawatan ke beberapa buah rumah penerima dan ke tapak pembinaan Kawasan II, dimana pembinaan 12 buah rumah bantuan berkonsepkan ‘reka dan bina’ sedang giat dilaksanakan di bawah projek yang sama.

Salah seorang penerima, Dayang Rapiah binti Chuchu, 73, semasa ditemui pihak media, melahirkan perasaan gembira dan rasa terima kasih kepada pihak yang berpentingan kerana diberikan rumah bantuan ini.

Beliau yang sebelum ini tinggal di Kampung Manggis merupakan ibu kepada dua orang anak tirinya yang berusia 30 tahun dan 27 tahun dan setiap bulan hanya bergantung kepada pendapatan dari pencen tua dan bantuan daripada saudara mara mereka.

Namun begitu, kedua-dua anak tiri beliau ini tidak berputus asa untuk mencari rezeki di samping menjaga dan menguruskan Dayang Rapiah di kehidupan mereka seharian kerana beliau mempunyai masalah berjalan dan hanya bergantung menggunakan tongkat beliau.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, projek bantuan membina rumah bagi golongan daif, fakir dan miskin ini adalah merupakan projek yang diusahakan oleh beberapa buah agensi kerajaan

termasuk Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Projek ini juga dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Ugama Islam melalui Kumpulan Wang Zakat dengan penyediaan infrastruktur seperti jalan raya, air dan elektrik disediakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Bantuan perumahan ini merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memeduli kesejahteraan dan kebajikan golongan daif, fakir dan miskin yang memerlukan bantuan dalam memberikan kehidupan yang lebih selesa dan sempurna untuk mereka.

Perlaksanaan projek pembinaan rumah-rumah di bawah projek ini dikendalikan oleh beberapa peringkat jawatankuasa dan kumpulan kerja yang bertindak bagi memastikan kelancaran penyediaan dan pembinaan rumah-rumah bantuan melalui kementerian-kementerian dan Kumpulan Kerja Penyiasatan di peringkat daerah-daerah.

Jawatankuasa Bertindak Projek akan bekerjasama secara berterusan dengan Kementerian Pembangunan dan Majlis Ugama Islam dalam memantau perlaksanaan projek bantuan ini dalam memastikan ia dilaksanakan mengikut jadual dan kualiti binaan terjaga dan juga bekerjasama dengan Kumpulan Kerja Penyiasatan Daerah dalam memastikan sokongan yang dihadapkan ke Jawatankuasa Pengesahan Bantuan bagi sokongan Majlis Ugama Islam.