12 jurulatih terima Sijil ‘C’ AFC

12 jurulatih terima Sijil ‘C’ AFC

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Seramai 12 orang jurulatih termasuk seorang dari Singapura yang menyertai Kursus Kejurulatihan Sijil ‘C’ AFC sejak 26 Mac lalu telah menerima sijil kehadiran masing-masing petang ini.

Menyempurnakan penyampaian sijil di NFABD House ialah Pemangku Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Dalam ucapannya, Pengiran Mohd Amirrizal menegaskan setiap ilmu yang diperolehi daripada kursus berkenaan tidak bermakna jika tidak dipraktikkan, maka para peserta perlu menjadi jurulatih kepada sebuah kelab supaya dapat menggunakannya.

Beliau turut menyentuh mengenai peri pentingnya setiap jurulatih untuk memiliki disiplin yang tinggi di semua sudut, rancangan latihan bersistematik, sedia menerima teguran dan menjadi contoh kepada para pemain di bawah bimbingannya.

12 peserta Kursus Kejurulatihan Sijil C AFC bergambar ramai bersama Pengiran Mohd Amirrizal (duduk, empat kanan).
12 peserta Kursus Kejurulatihan Sijil C AFC bergambar ramai bersama Pengiran Mohd Amirrizal (duduk, empat kanan).

Memudahcara kursus yang merangkumi sesi teori dan amali termasuk ujian bertulis dan amali berkenaan ialah Instruktor AFC, Stephen Ng Heng Seng.

Di sepanjang kursus, para peserta telah didedahkan kepada ilmu pengetahuan berkaitan bolasepak seperti teknik dan kemahiran, taktik dan strategi, kecergasan, sains kesihatan, pengurusan bolasepak, undang-undang permainan dan teknologi bolasepak.

Antara lain tujuan kursus anjuran bersama NFABD dengan AFC itu diadakan untuk mencipta landasan khusus bagi jurulatih yang baru bertapak supaya mereka dapat berkembang maju dan mempertingkat standard kejurulatihan di kelab masing-masing.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah EXCO NFABD, Haji Mohd Nor bin Haji Hamid, Pengarah Teknikal NFABD, Mike Wong Mun Heng dan Pemangku Pengarah Pertandingan NFABD, Awang Dayem bin Haji Ali.

ARTIKEL YANG SAMA