12 maut, banjir teruk akibat Taufan Melor

12 maut, banjir teruk akibat Taufan Melor

MANILA, 16 Dis (AFP) – Penduduk-penduduk yang dilanda hujan di kawasan luar bandar Filipina berkumpul di atas bumbung hari ini selepas Taufan Melor mengakibatkan banjir teruk dan mengorbankan kira-kira 12 orang, menurut pihak berkuasa.

Hujan lebat di ibu negara, Manila malam semalam telah menenggelamkan beberapa batang jalan raya dan mengakibatkan lalu lintas menjadi kelam kabut, meskipun banjir di bandar besar itu yang mempunyai 12 juta penduduk telah surut pagi ini.

Angka kematian meningkat selepas pihak berkuasa di Mindoro, sebuah pulan perladangan besar yang mempunyai 1.2 juta penduduk, 120 kilometer selatan ibu negara, melaporkan lima orang terbunuh di sana.

Gabenor Mindoro Aurelio Umali berkata air banjir naik mendadak di beberapa bahagian pulau itu malam semalam, yang memaksa para penduduk memanjat bumbung rumah mereka.

Seorang warga Filipina membersihkan serpihan rumahnya yang musnah akibat dilanda Taufan Melor di bandar Donsol, wilayah Sorsogon, di selatan Manila, Filipina semalam. – Agensi
Seorang warga Filipina membersihkan serpihan rumahnya yang musnah akibat dilanda Taufan Melor di bandar Donsol, wilayah Sorsogon, di selatan Manila, Filipina semalam. – Agensi

“Banjir mulai surut tetapi masih ada orang ramai berada di bumbung rumah mereka. Banyak rumah mengalami kerosakan. Kami akan pergi ke kawasan-kawasan itu dengan menaiki bot getah pengawal pantai hari ini,” Umali berkata di radio DZMM.

Selepas perlahan-lahan melintasi Mindoro semalaman, Melor bergerak keluar ke Laut China Selatan pagi ini, menurut biro cuaca.

Tetapi peramal cuaca memberi amaran ia mungkin masih mengakibatkan hujan sehingga 30 milimeter sejam di Manila dan wilayah sekitar, meskipun Mindoro diijangka tidak akan teruk dilanda.

ARTIKEL YANG SAMA