12 maut diserang di pasar

12 maut diserang di pasar

GUWAHATI, India, 5 Ogos – Lelaki bersenjata hari ini melepaskan tembakan ke arah sebuah pasar sibuk di kawasan bergolak timur laut India, membunuh 12 orang dan mencederakan beberapa yang lain, kata polis.

Pihak berkuasa di negeri Assam tempat serangan itu berlaku menyalahkan Barisan Demokratik Kebangsaan Bodoland (NDFB), yang melancarkan kempen ganas berdekad lamanya bagi menuntut kemerdekaan untuk puak asli Bodo.

Polis berkata terdapat sekitar enam lelaki bersenjata, salah seorang daripadanya terbunuh selepas serangan daripada pasukan keselamatan.

“Serangan itu dilakukan oleh puak Songbijit daripada NDFB,” kata ketua polis Assam, Mukesh Sahay memberitahu AFP.

“Kemungkinan terdapat lima hingga enam militan yang terlibat dalam serangan itu. Kami cuba untuk memusnahkan militan selebihnya selepas pasukan kami berjaya menumpaskan seorang.”

Asap berkepul-kepul dilihat dari tapak serangan militan di Balajan Tinali, di daerah Kokrajhar, timur laut Assam pada 5 Ogos. – AFP
Asap berkepul-kepul dilihat dari tapak serangan militan di Balajan Tinali, di daerah Kokrajhar, timur laut Assam pada 5 Ogos. – AFP

Menurutnya, para penyerang juga menggunakan bom tangan, membakar sebuah binaan di pasar tersebut yang dipenuhi oleh pembeli-belah.

Agensi berita Press Trust of India meletakkan jumlah kematian sekitar 14 orang, memetik sumber pegawai polis sebagai berkata bahawa dua yang lain meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Kerajaan negeri berkata anggota polis dan separa tentera telah berkejar ke tempat kejadian di Balajan, sekitar 220km barat bandar utama Assam, Guwahati dan berhampiran sempadan dengan Bhutan.

Ketua Menteri Assam yang baru dilantik, Sarbananda Sonowal mengutuk pembunuhan itu dan berjanji tindakan keras ke atas dalangnya.

“Kami tidak akan bertoleransi ke atas mana-mana ancaman daripada sebarang kumpulan. Kerajaan tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan ketika menangani kumpulan pengganas,” kata Sonowal kepada para wartawan. – AFP

 

ARTIKEL YANG SAMA