12 maut, polis-penunjuk perasaan bertempur

12 maut, polis-penunjuk perasaan bertempur

KATHMANDU, 24 Ogos (Bernama) – Sekurang-kurangnya 12 orang termasuk lima anggota polis terbunuh apabila polis bertempur dengan penunjuk perasaan di Tikapur, di barat Nepal, kira-kira 800 kilometer di barat Kathmandu, Isnin.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Bamdev Gautaum berkata dalam sidang Parlimen pada Isnin, beberapa perusuh yang tidak terkawal dan penjenayah menyerang polis atas nama bantahan di Tikapur menyebabkan beberapa orang termasuk beberapa anggota polis terbunuh.

“Ia satu tindakan jenayah untuk menyerang polis dengan senjata berbahaya dan kami semua mengutuk tindakan ini,” katanya.

Bagaimanapun, penunjuk perasaan mendakwa pertempuran tercetus apabila polis melepaskan tembakan ke arah mereka yang mengadakan protes secara aman.

“Polis bertanggungjawab terhadap insiden itu kerana melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang membuat bantahan secara aman,” kata anggota Parlimen Ram Janam Chaudhari, yang bersimpati dengan penunjuk perasaan, ketika ditemu ramah menerusi telefon. Anggota polis yang terbunuh dalam insiden itu ialah superintenden Laxman Neupane, inspektor Balaram Bista dan tiga konstabel iaitu Ram Bihari Chaudhari, Lokendra Chand dan Keshav Bohara.

Penunjuk perasaan terdiri daripada penduduk etnik Tharu yang menuntut wilayah autonomi untuk masyarakat etnik Tharu di barat Nepal.

Tetapi kerajaan dan tiga parti utama menentang pemberian autonomi kepada penduduk etnik Tharu.

Kerajaan telah mengisytiharkan perintah berkurung untuk tempoh tidak ditentukan selepas insiden tersebut dan mengharamkan rapat umum dan perhimpunan di Tikapur dan kawasan bersebelahan.

ARTIKEL YANG SAMA