12 maut serangan bom berani mati di Fallujah, Karbala

12 maut serangan bom berani mati di Fallujah, Karbala

BAGHDAD, 15 Nov – Pengebom berani mati mensasarkan dua bandar utama di Iraq kelmarin, menyerang pasukan keselamatan di bandar Sunni di Fallujah dan jemaah Syiah di Karbala di selatan negara itu, membunuh sekurang-kurangnya enam orang di setiap serangan.

Pengeboman dilihat dilakukan oleh kumpulan Islamic State (IS) bagi menyerang kembali kemaraan tentera kerajaan di kubu kuat mereka di bandar utara Mosul. Kumpulan militan Sunni mendakwa bertanggungjawab dalam dua pengeboman itu.

Di Fallujah, serangan itu dilakukan oleh pengebom berkembar berani mati di pusat bandar – kejadian pertama sejak tentera Iraq mengisytiharkan ia “bebas sepenuhnya” daripada militan IS pada pada akhir bulan Jun selepas menjalani operasi serangan selama sebulan yang dibantu oleh serangan udara yang dipimpin AS.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Brig. Gen Saad Maan berkata seorang daripada pengebom Fallujah membunuh dua anggota polis dan mencederakan 17 orang, termasuk sembilan orang awam.

“Mereka menyerang pusat pemeriksaan keselamatan,” kata beliau sambil menambah bahawa lalu lintas sangat sibuk di kawasan itu dan sekitar 10 kenderaan termasuk ambulans telah rosak.

Pengebom kedua membunuh empat orang, termasuk dua anggota polis.

IS mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, menghantar video dalam talian yang menunjukkan pengebom sebelum serangan itu, muka mereka bertopeng dan mengacukan senapang serangan. Fallujah adalah bandar Iraq yang pertama jatuh kepada IS, pada Januari 2014. Sejak IS berjaya dihalau keluar, penduduk mula kembali ke bandar itu, 65 kilometer barat Baghdad.

Terdahulu hari ini, pengeboman berani mati itu menyasarkan bandar suci Syiah, Karbala, membunuh sekurang-kurangnya enam orang awam dalam serangan yang juga dituntut oleh IS. – AP