12 MPK dihakimi bagi AKC ke-4

12 MPK dihakimi bagi AKC ke-4

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 30 April – Sebanyak 12 majlis perundingan kampung di daerah ini telah dikunjungi oleh rombongan pegawai Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) serta para hakim bagi Anugerah Kampung Cemerlang (AKC) ke-4, yang akan diadakan pada tahun depan.

Antara yang telah dikunjungi setakat ini adalah Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Teraban, yang diadakan di Balai Raya Sungai Teraban, MPK Mumong di Pusat Aktiviti Mumong, MPK Pandan B di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, MPK Lorong Tiga Selatan Seria di Pejabat Daerah Seria, MPK Lumut 1 di Balai Raya Lumut 1 dan MPK Lumut 11 di Pejabat Ketua Kampung Lumut 11.

Kampung-kampung yang dikunjungi bagi proses penghakiman tersebut adalah di antara yang sedang giat mempertingkatkan usaha mereka untuk memenangi anugerah berkenaan.

Penghakiman adalah melalui dua proses iaitu pembentangan yang mana setiap MPK membentangkan kertas kerja untuk dinilai di hadapan jawatankuasa jemaah hakim, dan proses kedua adalah mengadakan lawatan lapangan bagi memastikan semua yang dibentangkan menepati kriteria yang dihakimkan.

Penghakiman yang dilakukan di rumah ketua Kampung Lumut II.
Penghakiman yang dilakukan di rumah ketua Kampung Lumut II.
Penghakiman yang dilakukan di Pusat Aktiviti Majlis Perundingan Kampung Mumong.
Penghakiman yang dilakukan di Pusat Aktiviti Majlis Perundingan Kampung Mumong.
Penghakiman yang sedang dilakukan di Balai Raya Lumut 1 bagi Majlis Perundingan Kampung Lumut I.
Penghakiman yang sedang dilakukan di Balai Raya Lumut 1 bagi Majlis Perundingan Kampung Lumut I.

Hasil daripada penghakiman tersebut akan dibawa ke peringkat separuh akhir, yang mana sebanyak 30 MPK di seluruh negara akan dihakimkan bagi mencari 10 MPK yang akan layak ke peringkat akhir AKC.

Kunjungan penghakiman, petang kelmarin, telah dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap KHEDN, Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar,dan  turut serta menghakimkan ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman, pegawai-pegawai KHEDN dan para hakim.

Terdapat enam kriteria penilaian yang diambil kira antaranya pengurusan dan pentadbiran, keselamatan, perekonomian (Satu Kampung Satu Produk), pendidikan, keagamaan, kebajikan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan serta keceriaan, keindahan dan kebersihan

ARTIKEL YANG SAMA