12 murid maut di Syria

12 murid maut di Syria

AMMAN, 12 Jan (Reuters) – Sekurang-kurangnya 12 murid maut dalam serangan udara yang disyaki dilakukan Russia di sebuah sekolah di Wilayah Aleppo yang dikuasai pemberontak Syria hari ini, lapor Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHM).

SOHM berkata, serangan ke atas bandar Ain Jara, terletak 15 kilometer ke barat bandar Aleppo itu turut mengorbankan seorang guru.

Ada laporan kejadian itu turut menyebabkan mangsa yang cedera dengan sesetengahnya parah.

Rakaman media sosial dikeluarkan aktivis menunjukkan skala kemusnahan besar sebuah bangunan dengan bilik kelas termasuk bangku dan buku teks bertaburan di lantai dipenuhi darah.

Rakaman itu bagaimanapun tidak dapat disahkan lagi. Dalam perkembangan lain, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya kelmarin melancarkan 26 serangan di Syria dan Iraq dalam serangan harian terbaru di tengah perjuangan menentang militan IS, kata gabungan mengetuai operasi itu dalam satu kenyataan.

Di Syria, 14 serangan berhampiran enam bandar mengenai enam unit taktikal IS dan memusnahkan tiga kedudukan militan, dua kren, sebuah trak pemasang paip dan sasaran lain, menurut kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sebelas serangan berhampiran enam bandar di Iraq antara lain memusnahkan sebuah gudang digunakan kumpulan militan serta enam unit taktikal.

ARTIKEL YANG SAMA