12 pelajar ‘O’ Level/IGCSE cemerlang

12 pelajar ‘O’ Level/IGCSE cemerlang

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Feb – Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, semalam, telah mengeluarkan keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘O’ Level dan Peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) Oktober/November 2015.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, daripada 6,903 orang calon yang menduduki peperiksaan ’O’ Level / IGCSE, seramai 3,064 calon atau 44.39 peratus berjaya memperoleh sekurang-kurangnya empat kredit ‘O’ Level/IGCSE.

Seramai 1,158 orang calon atau 16.78 peratus mendapat kredit lapan hingga 13 ‘O’ Level/IGCSE, manakala 2,538 orang calon atau 36.77 peratus mendapat kredit lima hingga 13 ‘O’ Level/IGCSE.

Jumlah yang memperoleh sekurang-kurangnya empat ‘O’ Level dalam kalangan calon-calon sekolah kerajaan mencapai 42.47 peratus.

Di samping itu, 266 orang calon (4.02 peratus) mendapat Gred A dalam lima hingga 12 mata pelajaran dengan peningkatan sebanyak 0.32 peratus. Pencapaian ini termasuk 145 orang calon (2.19 peratus) dari sekolah kerajaan.

Seramai 12 orang calon (0.17 peratus) mendapat cemerlang dengan pencapaian agregat 6 dan gred A*(1) dalam enam hingga lapan mata pelajaran, begitu juga pencapaian calon yang memperoleh gred A dalam enam, tujuh dan lapan mata pelajaran masing-masing berjumlah 84 calon, 55 calon dan 27 calon dengan peningkatan sebanyak 0.12 peratus, 0.33 peratus dan 0.10 peratus berbanding dengan tahun 2014.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan prestasi pencapaian calon yang memperoleh lima kredit ‘O’ Level/IGCSE, dua buah sekolah mencapai keputusan melebihi 90 peratus iaitu Maktab Sains PSBS mencapai 98.11 peratus, Sekolah Menengah PJN Pengiran Haji Abu Bakar (B) mencapai 100 peratus.

Manakala 22 buah sekolah termasuk 16 buah sekolah kerajaan menunjukkan peningkatan di antara 0.21 peratus hingga 14.53 peratus berbanding pencapaian tahun 2014.

Seperti pada tahun 2015, juga terdapat seramai 764 calon yang terdiri daripada kalangan pelajar yang mengikuti Program Pendidikan Menengah General empat Tahun (Tahun 10) dalam SPN21, iaitu yang mengikuti dua tahun menengah rendah dan dua tahun menengah atas.

Daripada 764 orang calon yang menduduki peperiksaan, seramai 498 orang calon atau 65.18 peratus memperoleh kredit lapan hingga 11 ‘O’ Level/IGCSE, manakala 701 calon atau 91.75 peratus memperoleh kredit lima hingga 11 ‘O’ Level/IGCSE dan seramai 717 (93.85 peratus) telah berjaya memperoleh sekurang-kurangnya empat kredit dalam ‘O’ Level/IGCSE.

Daripada segi pencapaian mata pelajaran O Level dan IGCSE, lapan mata pelajaran daripada 31 mata pelajaran ‘O’ Level yang diduduki menunjukkan peningkatan di antara 2.05 peratus dan 32.90 peratus dalam gred A hingga C.

Ini ialah mata pelajaran English Language, Literature in English, Ulum Al-Quran, Bahasa Arab, Chinese, Design and Technology, Principle of Accounts dan Business Studies.

Dua mata pelajaran yang baru diperkenalkan dan diperiksakan tahun lalu, iaitu Art and Design dan Computer Science masing-masing mencatat pencapaian 39.89 peratus dan 61.39 peratus.

Bagi Peperiksaan IGCSE, daripada 1,483 orang calon, seramai 1,113 orang calon (75.05 peratus) mendapat gred A hingga G bagi mata pelajaran English as a Second Language, kod 510, seramai 790 orang calon menduduki IGCSE English as a Second Language, kod 511 dengan pencapaian 81.01 peratus, manakala daripada 2,143 orang calon menduduki IGCSE Mathematics, 70.28 peratus telah mencapai gred A hingga G.

Dalam mata pelajaran Physical Education (PE) dan French pencapaian adalah 100 peratus Gred A hingga G seperti tahun 2014, dan bagi Information and Communication Technology pencapaian adalah 81.53 peratus. Sementara itu, pencapaian mata pelajaran Design and Technology adalah 98.69 peratus, Accounting 38.24 peratus dan Travel and Tourism 83.72 peratus bagi Gred A hingga G.

ARTIKEL YANG SAMA