12 pelajar terima sumbangan keperluan sekolah

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 11 Jan – Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Bukit Beruang dengan kerjasama Takmir Masjid RPN Bukit Beruang dan Persatuan Belia-belia KESUMA, kelmarin, telah menyampaikan bantuan peralatan sekolah kepada 12 orang kanak-kanak dari keluarga yang kurang berkemampuan yang bersekolah di Sekolah Rendah Perpindahan Bukit Beruang, kelmarin.

Hadir bagi menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Ketua Kampung Bukit Beruang, Awang Ahmad bin Aman yang juga Pengerusi MPK Bukit Beruang selaku tetamu kehormat majlis yang telah dikendalikan oleh Biro Wanita MPK Bukit Beruang dan Biro Wanita Persatuan Belia-belia KESUMA.

Sumbangan berkenaan adalah hasil kutipan daripada orang ramai dan penduduk RPN Bukit Beruang dan sekitarnya menerusi Kempen Drop Box yang dijalankan sepanjang Disember 2017 lalu.

Awang Ahmad ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang murid Sekolah Rendah Perpindahan Bukit Beruang yang memerlukan, kelmarin.
Awang Ahmad bersama pelajar serta ibu bapa mereka bergambar ramai semasa majlis penyerahan sumbangan tersebut.

Penyampaian sumbangan berkenaan akan diteruskan lagi di Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang yang mana sumbangan akan terus membantu anak-anak yang kurang berkemampuan untuk memiliki alat-alat persekolahan.

Kempen yang bertemakan ‘Musim Kembali ke Sekolah 2018’ itu bertujuan untuk membantu dan meringankan beban anak-anak yatim dan mereka yang kurang berkemampuan khususnya mereka yang tinggal di sekitar Kampung Bukit Beruang untuk menyediakan peralatan sekolah mereka di samping memberikan keceriaan dan semangat kepada mereka untuk pergi ke sekolah dengan peralatan persekolahan yang disumbangkan daripada orang ramai.