12 sekolah terima sumbangan raket

12 sekolah terima sumbangan raket

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Persatuan Badminton Kebangsaan Negara Brunei Darussalam hari ini menyumbangkan sebanyak 240 raket jenama Yonex kepada 12 buah sekolah terpilih bagi tujuan untuk memperkembangkan sukan badminton di negara ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Persatuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) itu ialah Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Badminton Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan juga Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Antin bin Ahad.

Sumbangan raket-raket tersebut adalah untuk digunakan bagi Kursus BWF Shuttle Time bagi guru-guru sekolah terpilih yang bertujuan untuk memilih pemain-pemain badminton terbaik di negara ini yang dijalankan oleh guru-guru kerajaan dan bukan kerajaan senegara yang telah bermula sejak tahun lepas.

Seramai 200 orang guru telah terpilih menjadi jurulatih kursus tersebut dan dengan adanya sumbangan ini akan dapat meningkatkan lagi keberkesanan kursus berkenaan.

Wakil dari Sekolah Rendah Rataie Temburong menerima sumbangan raket berkenaan.
Wakil dari Sekolah Rendah Rataie Temburong menerima sumbangan raket berkenaan.

Salah seorang ahli BWF Shuttle Time, Awang Zuno Kartono bin Ali mengatakan bahawa program itu adalah salah satu program yang direka khas bagi guru-guru sekolah terutamanya guru pendidikan jasmani yang melatih para penuntut sukan badminton.

“Dalam program ini tersedia lengkap persediaan mengajar serta video bagi melatih para penuntut untuk belajar kemahiran dalam permainan badminton.

“Program ini juga diajarkan kepada guru yang lain atau mana-mana individu yang berminat dalam bidang kejurulatihan terutama dalam bidang sukan badminton kerana ini adalah tahap awal kepada sesiapa yang belum mempunyai latar belakang atau pengenalan dalam kejurulatihan,” ujar beliau kepada Media Permata.

Program yang dikenali sebagai BWF Coaching Education and Shuttletime itu merupakan satu projek mega anjuran BWF bagi negara-negara ahli yang masih di tahap permulaan termasuk Negara Brunei Darussalam.

Persatuan Badminton Kebangsaan Negara Brunei Darussalam adalah ahli anggota BAC/BWF dan berperanan sebagai penyelaras kegiatan-kegiatan BAC/BWF termasuk penyediaan program dan logistik.

Sekolah-sekolah yang terpilih bagi menerima sumbangan raket tersebut ialah Sekolah Rendah Jalan 10 Utara Perpindahan Lambak Kanan; Sekolah Rendah Jerudong; Sekolah Rendah Kampung Rataie, Temburong; Sekolah Rendah Tutong Kem; Sekolah Rendah Sungai Tali, Lumut; Sekolah Rendah Beribi; Sekolah Rendah Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar; Sekolah Rendah Katok; Sekolah Menengah PJN Pengiran Haji Abu Bakar, Kuala Belait; Sekolah Menengah Chung Ching, Kuala Belait; Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Sekolah Menengah Muda Hashim, Tutong.