12 skuad remaja elit berentap

12 skuad remaja elit berentap

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Dua belas pasukan remaja elit tanah air akan berentap bagi merebut Piala Remaja B15 Elit NFABD 2015 anjuran Jabatan Perkembangan Bola Sepak NFABD yang dijadualkan berlangsung pada 27 November hingga 5 Disember 2015 nanti.

Selepas Majlis Pengundian yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung NFABD, Haji Muhd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani di NFABD House malam tadi, pasukan-pasukan tersebut telah dibahagikan kepada enam buah pasukan sekumpulan. Diundi dalam Kumpulan A ialah Tabuan B13, Brunei Sports School B15, Belait Black Gold B15, ISB B15, TAFA B15 (Temburong) dan Daerah Tutong B15. Kumpulan B pula diisi oleh MSN United B15, BM Skim JBS (Brunei & Muara), AKSE Bersatu B15, JIS B15, Academy Kilanas B15 dan Tabuan B14.

Hanya dua buah pasukan teratas setiap kumpulan iaitu selepas liga satu pusingan (round robin) dijalankan di dalam kumpulan masing-masing, akan meneruskan cabaran di peringkat separuh akhir.

Aksi pertama kejohanan adalah pada Jumaat, 27 November nanti iaitu Daerah Tutong B15 lawan Tabuan B13 pada pukul 9:00 pagi di Kompleks Sukan Berakas (KSB), dan Tabuan B14 lawan MSN United B15 pada pukul 9:00 pagi di Padang & Balapan (P&B), Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB). Pada sebelah petang 27 November itu Belait Black Gold B15 dijadualkan menentang TAFA B15 di Kompleks Sukan Berakas (KSB) pada pukul 3:00 petang, dan pada masa yang sama di P&B, KSNHB adalah perlawanan di antara AKSE Bersatu B15 dengan Academy Kilanas B15.

Dua belas ketua pasukan mewakili pasukan masing-masing semasa Majlis Pengundian Piala Remaja B15 Elit NFABD 2015 malam tadi.
Dua belas ketua pasukan mewakili pasukan masing-masing semasa Majlis Pengundian Piala Remaja B15 Elit NFABD 2015 malam tadi.

Pada pukul 4:30 petang akan turut dijalankan dua perlawanan berasingan iaitu Brunei Sports School B15 lawan ISB B15 di KSB dan BM Skim JBS lawan JIS B15 di P&B, KSNHB.

Kejohanan itu dihasrat akan dapat mengumpulkan para pemain terbaik B15 di negara ini sekali gus memberikan mereka peluang untuk menimba pengalaman dan memperbaiki mutu permainan mereka masing-masing di peringkat kebangsaan.

Kejohanan berpotensi besar menjadi medan mengenal pasti pemain-pemain berbakat besar tempatan menerusi Program Mengenal Pasti Bakat (TDI) yang akan dijalankan di sepanjang berlangsungnya kejohanan berkenaan.

NFABD berharap untuk membawa masuk para pemain muda terbaik kejohanan ke dalam program perkembangan berstruktur NFABD demi melatih mereka sebelum diserapkan bagi menguatkan lagi pasukan kebangsaan sebagai persiapan menyertai kejohanan-kejohanan peringkat antarabangsa di masa akan datang.

Hadir sama di majlis pengundian itu ialah Pengarah Teknikal NFABD, Mike Wong Mun Heng, Pengarah Pertandingan NFABD, Haji Abdul Razak bin Haji Hasbullah, Jurulatih Kanan Kakitangan NFABD, Stephen Ng Heng Seng, Ketua Jabatan Pengadil NFABD, Tamat bin Haji Budin dan Ketua Jurulatih NFABD, Dayem bin Haji Ali.

ARTIKEL YANG SAMA