120 pelajar khatam dirai

120 pelajar khatam dirai

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 27 Sept – Seramai 120 orang murid Darjah 6 sekolah-sekolah agama di Daerah Temburong telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong, Haji Adam bin Haji Tengah. Turut hadir ialah guru-guru agama dan ibu bapa serta para penjaga murid-murid yang diraikan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh tetamu kehormat dan diteruskan dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad oleh para peserta khatam.

Setelah itu, Takhtim dibacakan oleh guru-guru perempuan dari sekolah-sekolah agama di daerah ini diikuti dengan bacaan Doa Khatam oleh salah seorang peserta khatam, Awang Mohammad Zahierul Haziq bin Hamdan dari Sekolah Ugama Negalang.

Haji Adam bersama jemputan yang lain semasa menghadiri majlis berkenaan.
Haji Adam bersama jemputan yang lain semasa menghadiri majlis berkenaan.
Para peserta khatam ketika memperdengarkan bacaan mereka secara beramai-ramai di majlis tersebut.
Para peserta khatam ketika memperdengarkan bacaan mereka secara beramai-ramai di majlis tersebut.

Majlis ini merupakan sebahagian daripada projek tahunan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan tujuan menggalakkan murid-murid agar sentiasa mengamalkan pembacaan Al-Quran dengan bacaan yang betul dan lancar.

Selain itu juga memastikan murid-murid Darjah 6 dapat mengkhatamkan bacaan Al-Quran sebelum mereka meninggalkan atau menamatkan pembelajaran di sekolah agama.

Ia juga dihasratkan dapat mengeratkan kerjasama dan perpaduan antara ibu bapa, guru-guru dan murid-murid dalam sama-sama mengendalikan majlis keugamaan di sekolah-sekolah.

Di akhir majlis, tetamu kehormat mendahului acara menabur bunga rampai dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta khatam.

ARTIKEL YANG SAMA