120 sertai Mesyuarat ACC ke-25

120 sertai Mesyuarat ACC ke-25

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Kementerian Kesihatan kini sedang menghoskan Mesyuarat Jawatankuasa Kosmetik ASEAN (ACC) ke-25 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan 2016 yang berlangsung selama empat hari bermula 15 November lalu hingga esok.

Mesyuarat tersebut berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, The Mall, Gadong di mana mesyuarat-mesyuarat Badan Saintifik Kosmetik ASEAN (ACSB) dan Jawatankuasa Makmal Ujian Kosmetik ASEAN (ACTLC) diadakan serentak bersama Sidang Plenari ACC ke-25 berkenaan.

Di samping mesyuarat-mesyuarat berkenaan, majlis makan malam juga telah diadakan kelmarin, di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun dan telah dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar) di Kementerian Kesihatan, Dr. Hazri bin Haji Kifli selaku tetamu kehormat dan Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Maslina binti Haji Mohsin.

Pada tahun ini, Mesyuarat ACC ke-25 telah dihadiri hampir 120 orang daripada kalangan delegasi dan pemerhati dari negara anggota ASEAN, perwakilan dari Sekretariat ASEAN, Persatuan Kosmetik ASEAN (ACA), delegasi tambahan, rakan-rakan dialog jemputan atau wakil dan pemerhati daripada pihak berkuasa kawal selia dan industri kosmetik negara anggota ASEAN.

Syed Sagoff Alsagoff dari Sekretariat ASEAN ketika ditemu bual.
Syed Sagoff Alsagoff dari Sekretariat ASEAN ketika ditemu bual.

Mesyuarat ACC diadakan dua kali setahun dan bertujuan untuk membincangkan dan mengemas kini Bahan Lampiran bagi Perintah Kosmetik ASEAN (ACD) sebagai tindak balas kepada mana-mana isu keselamatan yang timbul.

Mesyuarat berkenaan juga membincangkan dan mengkaji semula keperluan teknikal dan data keselamatan yang berkaitan dengan bahan-bahan kosmetik yang dipertanggungjawabkan (tasked by) oleh ACC.

ACC telah ditubuhkan pada Disember 2003 dengan tanggungjawab mereka adalah untuk menyelia pelaksanaan ACD di negara-negara ASEAN.

Pada Mesyuarat ACC ke-2 pada bulan Jun 2004, terdapat persetujuan untuk menubuhkan sebuah badan saintifik iaitu ACSB untuk membantu ACC dalam mengkaji bahan-bahan kosmetik dan perkara teknikal lain yang berkaitan dengan bahan-bahan yang digunakan atau dimaksudkan untuk digunakan untuk menjadi sebahagian daripada produk kosmetik dan menyediakan cadangan-cadangan yang ada kepada ACC.

ARTIKEL YANG SAMA