120 terkorban serangan bandar Taez

120 terkorban serangan bandar Taez

SANAA, 26 Julai (Reuters) – Lebih 120 orang terbunuh dan kira-kira 170 lagi cedera selepas tentera bersekutu yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara di bandar Taez, semalam.

Agensi berita Saba yang memetik sumber tempatan berkata, serangan itu dilancarkan di kawasan Mokha yang didiami kumpulan jurutera dan pekerja sebuah stesen janakuasa selain beberapa keluarga yang berpindah akibat peperangan.

Sumber itu menjelaskan, angka kematian dijangka bertambah ketika pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang tertimbus di celah runtuhan bangunan dan sejumlah mangsa yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Misi ketenteraan Arab Saudi di Yaman dilihat semakin berpihak kepada tentera bersekutu sejak awal bulan ini susulan kerjasama dengan kumpulan bersenjata pro-Presiden, Abdrabbuh Mansour Hadi yang berjaya mengusir pemberontak Syiah Houthi dari bandar Aden dan kawasan berhampiran.